|
 |
| POPULARITI lagu Rindu Bayangan nyanyian Jay Jay bersama kumpulan Carefree ketika album pertama mereka, Kebebasan muncul pada 1979 masih utuh di persada muzik tanah air. Apa yang membanggakan, lagu itu turut diminati generasi muda yang tidak sempat menyaksikan kumpulan ini beraksi. |
Sungguhpun tiga dekad sudah berlalu, hakikatnya cinta Jay Jay atau nama sebenar Mohd Fauzi Darus pada muzik belum pudar. Pada Konsert Alam Muzik M Nasir di Istana Budaya, Kuala Lumpur penghujung bulan lalu menyaksikan dia berpeluang muncul di pentas sebagai pemain bass.
Katanya, dia tidak jemu untuk buat perkara rutin sama ada menyanyi atau bermain muzik sejak dulu hingga kini kerana ia adalah minatnya. Sebagai orang lama dalam bidang hiburan, dia tetap bersyukur apabila masih diterima peminat pada masa kini apatah lagi lagu popular ketika bersama Carefree masih diperdengarkan di radio.
"Sebenarnya sambutan peminat ini adalah kejutan buat saya kerana saya sendiri tidak menyangka peminat boleh terima lagu lama yang pernah popular pada zaman 70-an dan 80-an. "Baru-baru ini ketika saya terbabit dengan persembahan bersama stesen radio THR di beberapa negeri pantai timur, saya dapati sambutan peminat cukup meriah dan ini menandakan artis lama seperti saya masih diminati.
"Jika diimbas pengalaman lalu, saya mula jatuh cinta pada muzik sejak usia 12 tahun dan ketika itu saya pernah bermain dram bersama kumpulan The Cat di Kelantan.
"Atas minat yang mendalam itu, abang kedua saya, Azhar bertanyakan saya apakah pilihan hidup saya, muzik atau pekerjaan lain?
"Lalu, saya pilih muzik dan berkarya sepenuh masa sejak dulu hingga kini. Apapun, saya fikir tuah memberi kekuatan kepada saya untuk bertahan sejauh ini dan tidak dinafikan lagu Rindu Bayangan menjadi permulaan pada kemuncak karier seni saya selama ini.
"Saya tidak menyangka masih bertahan hingga kini. Saya tidak mempunyai perniagaan sampingan lain dan fokus saya hanya pada menyanyi dan bermain muzik. Syukur kerana rezeki yang saya terima mampu untuk menampung keluarga," katanya.
Mengenai perkembangan terbaru, bapa pada empat anak ini hadir dengan album baru berjudul JJay Emosi terbitan FMC Music Sdn Bhd yang sudah berada di pasaran sejak 16 Mac lalu. Menariknya, dalam album ini dia mempertaruhkan empat lagu baru iaitu Ku Relakan, Permaisuriku, Layang-Layang dan Jangan Pergi Dariku. Lagu Permaisuriku ciptaan Omar K dan Azlan Abu Hassan manakala lirik, Zel menjadi single untuk mempromosikan album baru ini.
Lagu layang-Layang dihasilkan Badhisham bersama Sakti Santiasa manakala Jangan Pergi Dariku pula ciptaan Badhisham dengan Abie Abdullah. Turut dimuatkan empat lagu yang pernah popular sebelum ini iaitu Jauh Dirindu ciptaan Othman Muhammad bersama Habsah Hassan, Dalam Kenangan (Hanan Khan dan Syed Haron), Cukuplah Sekali (Jayaraman dan Habsah Hassan) dan Kekasih (Bachan bersama Syed Haron).
"Mulanya saya fikir hanya mahu menghasilkan single baru tetapi akhirnya mendapat peluang untuk menghasilkan album baru. Bukan mudah sebenarnya mencari lagu yang sesuai untuk album ini kerana puluhan lagu yang saya terima hanya empat lagu baru ini adalah yang terbaik. Saya fikir lagu Permaisuriku sesuai dijadikan single kerana ia ringkas khusus pada bahagian korus.
"Lagu ini sudah memasuki carta di radio Hot FM dan Suria FM. Buat masa ini, saya gembira kerana respons yang diterima cukup baik hinggakan ada peminat tidak percaya saya menyanyi lagu baru itu. Selain Permaisuriku, saya berharap tiga lagu baru lain termasuk Ku Relakan ciptaan M Nasir bersama Ad Samad akan mendapat sambutan positif selepas ini," katanya.
Jay Jay, 52, yang ditemui di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur berpandangan persada muzik tanah air kini makin bertambah baik dan berkeyakinan album baru juga mampu tarik perhatian peminat untuk membeli. Katanya, walaupun penggiat seni dan peminat sebelum ini kecewa dengan perkembangan muzik tempatan yang merudum dari aspek jualan album termasuk dimonopoli muzik luar negara seperti Indonesia, tetapi dia tetap berbangga dengan kemunculan kumpulan muzik indie (bebas).
"Saya melihat bakat baru ini makin menyerlah. Seperti kumpulan Meet Uncle Hussain dan Bunkface, mereka menunjukkan satu revolusi baru pada pasaran muzik tempatan. Mereka bukan hanya berbakat menyanyi tetapi mampu bermain muzik dengan bagus.
"Untuk perancangan akan datang, saya berhasrat untuk mengajar dalam kelas muzik. Sebelum ini, saya ada terima beberapa tawaran mengajar muzik, tetapi saya juga mempunyai keinginan mengajar secara sukarela. Saya berharap ini adalah sumbangan saya pada masa depan muzik tempatan dan mendidik bakat baru berdasarkan pengalaman saya sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: