![]() |
| RINI tersingkir, tetapi masih ada hati untuk menerbitkan album rakaman bersama kembarnya, Rina yang sekian lama tertangguh. |
![]() |
| GAYA yang bersahaja dan persembahan yang rancak tidak mampu menyelamatkan Obri. |
PRESTASI pelajar program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) dilihat sudah menunjukkan peningkatan. Walaupun masih ada bahagian yang kurang tetapi persembahan mereka berbeza dengan membawa tema retro lagu 1980-an pada konsert minggu ketiga Jumaat lalu.
Meskipun begitu, sudah namanya pun program realiti TV penyingkiran tetap ada dan apa yang mengejutkan pada konsert minggu lalu yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil menyaksikan dua pelajar tersingkir sekali gus.
Dua pelajar yang dimaksudkan ialah Zuzafrini Zulkifli (Rini) dan Ahmad Sobri Hasmuni (Obri). Meskipun memberi persembahan yang menghiburkan tetapi undian penonton tidak memihak kepada mereka.
Rini yang menyanyikan lagu Seloka Cinta Remaja, nyanyian asal Allahyarham Seha Freedom dilihat mempamerkan persembahan dengan cukup tenang, lagaknya seperti penyanyi profesional dan mendapat pujian daripada pengkritik, Datuk Khatijah Ibrahim, Khairil Johari Johar dan Adlin Aman Ramlie.
Bagaimanapun, Rini yang ditemui pada sidang akhbar selepas konsert berakhir memberitahu, dia reda dengan keputusan penonton yang tidak memihak kepadanya.
"Saya telah cuba yang terbaik dan semasa dua konsert sebelum ini pun saya hanya tawakal kerana sering berada di tempat tercorot menyebabkan saya bersedia untuk tersingkir sedikit demi sedikit.
"Sedih juga sebab terpaksa meninggalkan rakan-rakan dalam akademi, kami semua sudah macam adik-beradik, saya hanya doakan yang terbaik buat mereka," ujarnya dalam nada sedikit beremosi.
Dia yang sebelum ini pernah mencuba untuk mengeluarkan album bersama adik kembarnya Rina mungkin akan memikirkan kembali perancangan yang pernah tertunggak itu.
"Album itu sudah siap dirakam, cuma keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan membuatkan album itu terperap begitu sahaja. Kalau ada peluang dan rezeki usaha itu akan diteruskan tetapi kenalah lihat dulu bagaimana perancangan pihak pengurusan Astro Entertainment Sdn. Bhd (AESB)," ujarnya.
Obri pula yang dilihat mula menunjukkan peningkatan dan perubahan dengan mendendangkan lagu Abang Beca nyanyian asal Broery Marantika juga menerima takdir yang dia kini tidak lagi bersama AF7.
"Belum rezeki saya. Saya akui tiap minggu ada sahaja kritikan tentang nyanyian saya tetapi semua kritikan negatif yang diterima tidak dianggap sebagai penghinaan, malahan sebagai kritikan membina buat saya.
"Dalam konsert AF inilah kali pertama saya menyanyi kerana saya tak pernah masuk pertandingan nyanyian. Tahap keyakinan saya masih kurang tetapi konsert demi konsert saya semakin yakin.
"Walaupun tersingkir, perjuangan saya tidak akan berhenti sampai di sini. Saya akan berusaha untuk memperbaiki kelemahan dan pengalaman bersama AF akan saya kenang sampai bila-bila," luah Obri.
Bercakap mengenai prestasi keseluruhan pelajar akademi pada konsert ketiga, pengetua AF7 Datin Seri Tiara Jacquelina berpuas hati kerana setiap pelajar menunjukkan peningkatan terutama Yazid.

![]() |
| YAZID (kiri) antara pelajar yang menampakkan perubahan dalam persembahannya. |
Menurutnya, bermula minggu lalu, pihak akademi telah menggunakan teknik pengajaran yang sedikit berbeza daripada kebiasaannya.
"Kali ini kami menggunakan teknik pengajaran seperti di teater iaitu mendahulukan penghayatan kemudian baru, vokal dan tarian. Apabila pelajar dapat memahami mesej yang harus disampaikan, barulah mereka dapat buat persembahan dengan baik.
"Minggu ketiga konsepnya retro dan kebanyakan lagu mempunyai jalan cerita, kerana itu saya fikir teknik itu sesuai dan akan dipraktikkan untuk konsert-konsert seterusnya," ujarnya yang bangga dengan pencapaian semua pelajar.
Walaupun begitu, pengkritik yang paling digeruni pelajar, Adlin Aman Ramlie dilihat hanya memuji segelintir pelajar terutamanya Hafiz dan Isma yang memberikan persembahan bertenaga, manakala yang lain ada sahaja kekurangan di mata dan telinganya.
"Bukan saya nak kata apa. Memang ada yang sudah bagus tetapi di minggu ketiga ini juga masih ada yang hancur. Saya tidak tahu apa yang mereka belajar.
"Saya harap mereka akan lebih bersedia bukan sahaja daripada segi vokal tetapi juga persembahan dan penghayatan. Kalau ada lagu yang kena menari mereka harus menari sebaik mungkin bukan mengharap penari latar semata-mata," kata Adlin.
Nampaknya kini hanya tinggal 11 peserta yang akan meneruskan perjuangan dalam AF7. Mereka ialah Claudia, Zizi, Aishah, Rubisa, Isma, Hafiz, Akim, Yazid, Qhaud, Aril dan Sidi.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: