Thursday, April 23, 2009

Pushpa perlahan kegiatan seni


SEJAK berkahwin pada Disember 2007, Pushpa Narayan, 30, terus sibuk berlakon termasuk menyambung penggambaran siktom Farah yang sudah bersiaran selama tiga musim. Penat sepanjang tahun lalu, Pushpa memperlahankan kegiatan seninya awal tahun ini kerana ingin memberi lebih tumpuan kepada rumah tangga.

Seperti pasangan suami isteri lain, Pushpa juga teringin menimang cahaya mata dan berharap langkahnya mengurangkan kegiatan seninya membolehkan segera mendapat zuriat sebagai pelengkap kehidupannya dengan suami, Richard Federick Robless.

"Saya tidak pernah merancang bila akan mendapat anak. Sejak hari pertama bergelar isteri, saya berharap dapat menjadi ibu dengan segera. Selain menyerikan rumah tangga, usia saya dan Richard tidak mengizinkan kami menunggu terlalu lama.

"Pun begitu, keluarga kedua-dua pihak tidak terlalu mendesak kerana mereka tahu apa jua yang berlaku atas kehendak Tuhan.

"Buat masa ini, saya juga tidak melakukan sebarang rawatan kesuburan dan hanya berusaha secara semula jadi," katanya ketika ditemui pada sidang media Anak Wayang terbitan Astro, kelmarin.

Terbaru Pushpa akan muncul dalam drama yang juga sebahagian daripada projek Anak Wayang iaitu Kecuali Cintamu. Drama itu dibuat khusus untuk memasukkan satu watak bakal dimainkan peserta Anak Wayang yang terpilih untuk minggu itu.

Anak Wayang adalah program realiti bagi mencari bakat lakonan dan drama bersiri yang akan berlangsung serentak.

Dalam drama itu, Pushpa pegang peranan sebagai anak yatim bernama Lili Aziz. Berasal daripada keluarga susah, Lily seorang yang sangat ringkas, tidak mementingkan kebendaan dan komited dengan kerja, tetapi tiada keyakinan diri apabila terpaksa berhadapan dengan golongan berada yang penuh hipokrasi.

"Lili tidak pandai bergaya, mudah gementar, tetapi sangat bertanggungjawab. Tumpuan sekarang pada drama ini yang diterbitkan 50 episod untuk siaran Astro Prima. Disiarkan Isnin hingga Jumaat, selama sejam.

"Pengarah drama ini juga mahu setiap pelakon memberi tumpuan kepada drama ini kerana bila-bila masa mungkin akan ada perubahan berdasarkan kepada peserta Anak Wayang yang bakal terpilih untuk berlakon drama ini.



"Penggambaran drama Kecuali Cintamu berlanjutan sehingga Ogos ini. Selain itu saya juga pergi uji bakat untuk iklan komersial kerana jika terpilih pembabitan dalam penggambaran iklan tidak lama.



"Selain itu saya berehat di rumah sambil melawat keluarga mentua di Kajang, Selangor. Jika Richard ada cuti panjang, kami balik ke rumah keluarga saya di Jerantut, Pahang," katanya.

Kata Pushpa, kehidupannya pada waktu bujang banyak yang berubah selepas berkahwin. Sebelum ini dia rela bekerja tak kira masa kerana tiada siapa di rumah.

"Sekarang selepas berkahwin, sudah ada pihak lain (suami) memerlukan perhatian saya. Lagipun sekarang kalau tiada sebarang aktiviti luar pun tidak bosan kerana ada kerja rumah yang perlu dibuat, memasak untuk suami dan hujung minggu kami berkumpul di rumah keluarganya.

"Adakala keluarganya akan datang ke rumah kami di Petaling Jaya. Hubungan saya dengan keluarga Richard rapat kerana jarak rumah yang agak dekat membuatkan kami sering bertemu," katanya.

Pushpa juga dalam perancangan membuka bisnes dan sedang membuat kajian memilih perniagaan yang diterokainya.

"Saya berminat dalam perniagaan pakaian tetapi belum dapat dipastikan sam ada saya akan buka butik pakaian atau perniagaan lain. Saya sedang mengkaji pasaran dan kecenderungan masyarakat.

"Sekarang ekonomi tidak berapa bagus dan tidak boleh buang duit begitu saja," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: