Saturday, April 4, 2009

Pakej terbaik Anggun




Mengorbankan banyak wang dan masa untuk mencipta nama di pentas antarabangsa

KESUNGGUHAN yang ditunjukkan penyanyi ini dalam usaha bergelar penyanyi bertaraf antarabangsa memang terserlah.

Meninggalkan kegemilangan yang dikecapi di tanah tumpah darahnya, Indonesia, pada awal 1990-an, dia terbang ke Eropah untuk membina tapak sebagai penyanyi yang mampu menyeberangi sempadan bersama muzik.

Pengalaman awal berada di negara orang bukan mudah buat Anggun. Pernah dia mengaku dalam satu temubual beberapa tahun lalu, dia hidup dalam kesempitan di United Kingdom (UK), ketika menetap di London sekitar tahun 1995 / 1996. Banyak wang dikeluarkan untuk perbelanjaan pengangkutan serta makanan.

Akhirnya dia menaiki bas sebagaimana insan biasa yang lain, demi menjimatkan wang.

Akhirnya, setelah berasakan percubaan di UK tidak membuahkan hasil, penyanyi yang meletup bersama lagu Mimpi dan Tua Tua Keladi di Indonesia itu memindahkan tapak kariernya ke Perancis. Dua tahun selepas meninggalkan Indonesia, barulah cahaya mula kelihatan dalam karier antarabangsanya setelah penyanyi ini diperkenalkan kepada penerbit yang juga komposer Perancis, Erick Benzi.



Benzi yang terpesona dengan bakat besar milik wanita Jawa itu menawarkannya kontrak rakaman. Pada 1996, dia menandatangani kontrak bersama Sony Music Perancis.

Pada Jun 1997, penyanyi ini muncul bersama album pertama di Eropah berjudul Au Nom de la Lune.

Menerusi album versi Inggerisnya, lagu Snow on the Sahara tiba-tiba menjadi lagu kegilaan ramai bukan saja di Asia, bahkan di beberapa negara Eropah termasuk Itali, Sepanyol dan UK.

Anggun yang sebelum itu sudah pun memiliki lima album di Indonesia sejak berusia 12 tahun, terus melahirkan album demi album, sama ada dalam bahasa Perancis mahupun Inggeris.

Antaranya Chrysalis dan Désirs Contraires pada tahun 2000, album runut bunyi Open Hearts pada 2002, Luminescence pada 2005 dan terkini, dia tampil bersama Elevation.

Tiga tahun lalu, Anggun juga muncul bersama sebuah album kompilasi yang dipasarkan di Indonesia dan Itali.

Dengan kelahiran Elevation yang sudah pun dipasarkan di Perancis pada Oktober 2008 dan di Indonesia dua bulan kemudian, Anggun makin memahat nama antara artis Asia yang paling berjaya di persada muzik antarabangsa.

Masakan tidak, sehingga hari ini dia kekal sebagai pemegang rekod penyanyi Asia terbaik dari segi jualan album di Amerika Syarikat (Snow on the Sahara), selain menjadi penyanyi Asia pertama memasuki carta muzik negara berkenaan.

Anggun sendiri berkata, dia ingin membawa tahap muziknya ke suatu peringkat lebih atas menerusi penghasilan terbaru. Lalu, amat bertepatan sekali apabila dia memilih judul terbabit kerana perkataan ‘elevate’ sememangnya bermaksud memindahkan sesuatu ke tahap lebih tinggi.

“Album itu turut dilihat sebagai cermin perjuangan dalam industri muzik, tanpa mengenal erti penat dan lelah dalam menghasilkan karya terbaik buat seluruh peminat,” katanya

Ketika menjelajah ke dunia luar demi pengembangan muziknya, Anggun nyata tidak pernah melupakan jati diri.

Album Elevation hadir dengan pakej yang dikatakan cukup baik - merangkumi pelbagai rentak bunyi. Daripada irama rancak kepada tempo sederhana, daripada lagu yang mempunyai elemen urban sehingga ke muzik dunia, peminat pastinya terpesona dengan hidangan Anggun yang terkini.

Memuatkan irama nan pelbagai, daripada pop, dance, hip hop, balada dan rock, album ini menjanjikan halwa telinga yang bakal memenuhi selera semua pengikutnya.

Bagi menjadikan album Inggeris keempatnya itu bukan sekadar mimpi, Anggun mengundang beberapa artis ternama lain untuk berkolaborasi bersamanya. Antaranya ialah produser yang sinonim dengan muzik urban, Tefa & Masta. Dia juga bergandingan dengan personaliti The Fugees, Pras Michel, serta DJ Laurent Wolf.

Album terbabit memuatkan 13 lagu berserta empat lagu bonus. Lagu Jadi Milik Mu / Crazy pula dipertaruhkan penyanyi ini sebagai single pertama untuk album kesembilannya itu.

“Lagu berkenaan kuat dipengaruhi elemen muzik dance serta dilihat mudah diterima peminat muzik di serata dunia. Ia turut disulami lirik yang mudah difahami, dengan cerita seorang insan yang jatuh cinta sehingga mabuk kepayang,” katanya.

Single kedua, Stronger menyaksikan penyanyi bersuara lantang itu bekerjasama dengan Big Ali, penyanyi rap yang sebelum ini pernah berkolaborasi bersama artis terkemuka dunia termasuk Usher, Puff Diddy dan Nelly Furtado. Manakala single ketiga Anggun berjudul My Man menampilkan Pras Michel. Ia sebuah lagu rancak dengan liriknya lebih kepada kebangkitan wanita.

Lagu lain yang turut disenaraikan dalam Elevation ialah Give It To Love, Berganti Hati (No Song), Selamat Tidur (Interlude), Eden In Her Eyes, World, Shine dan No Stress.

Lagu Jadi Milik Mu / Crazy dan Shine kini dipilih sebagai lagu latar iklan syampu, manakala Stronger pula bagi iklan produk susu di negara kelahirannya. Anggun ialah duta kepada kedua-dua jenama berkenaan di Indonesia.

INFO: Anggun

  • ANGGUN berkunjung ke Malaysia pada 23 Mac lalu. Sepanjang lebih kurang seminggu di negara ini, dia muncul pada acara sidang akhbar, mengadakan showcase serta mengikuti siri promosi album terbarunya di sini. Album Elevation pula dijangka berada di pasaran Malaysia sekitar 20 Mac lalu.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: