|
| NAMANYA di persada seni tanah air begitu 'gah' bagaikan inilah satu-satunya persatuan yang menyanjung pengorbanan seseorang anak seni. Malah, melalui penganjuran Anugerah Perdana Seniman 2009 (APS09) yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 April hingga 6 April lalu di Kuching, baru-baru ini, dianggap memori paling manis dalam diari Persatuan Seniman Malaysia (Seniman). |
Di sebaliknya, antara sedar ataupun buat-buat tidak tahu, kenangan manis yang dikecapi Seniman tidak meliputi artis yang dianggap mereka sebagai 'tetamu.'
Mungkin, pada dasarnya dilihat Seniman sudah berjaya menunaikan tanggungjawabnya dalam memberi penghargaan kepada rakan seperjuangan memandangkan anugerah kali ini adalah edisi yang keempat.
Namun apa yang berlaku hanyalah 'indah khabar dari rupa.' Bukan kuantiti artis dan kehadiran penonton yang ramai pada malam kemuncak APS09, dilihat sebagai satu kejayaan besar dalam penganjuran anugerah.
Malah, kejayaan menganjurkan sesebuah anugerah itu perlu meliputi semua aspek pengurusan dan penyeliaan sepanjang majlis itu berlangsung dan bukannya hanya bersungguh-sungguh pada peringkat awal saja.
Perkara ini menjadi bualan di kalangan 180 delegasi membabitkan beberapa artis veteran yang didatangkan khas dari Singapura.
Rasa kesal dengan apa yang berlaku turut dirasai bekas presiden Seniman, Baharuddin Omar atau Anjang Aki yang hadir sepanjang APS09 berlangsung di Kuching, baru-baru ini.
Bagi Baharuddin, fenomena yang berlaku pada majlis kemuncak APS09, sepatutnya tidak berlaku sekiranya Seniman memainkan peranannya secara ikhlas dalam menghargai pengorbanan anak seni.
"Saya tidak rasa mereka (Seniman) mengalu-alukan kehadiran saya di majlis itu. Bayangkan, saya hanya diberitahu mengenai majlis ini beberapa hari sebelum majlis ini berlangsung dan itupun hanya melalui pesanan mesej.
"Mereka tiada inisiatif untuk menghubungi saya mengenai anugerah ini sedangkan saya salah seorang bekas presiden Seniman.
"Namun, disebabkan semangat Seniman yang ada dalam diri begitu menebal, saya tolak ke tepi rasa kesal dengan menghubungi mereka untuk mengetahui secara mendalam APS09.
"Saya bukannya mengharapkan mereka datang sampai ke rumah untuk menjemput, namun bukankah elok sekiranya jemputan itu dibuat secara ikhlas dan melalui panggilan telefon pun dianggap sudah memadai," katanya.
Baharuddin memberi komen sebagai mengulas kolum Jarum Emas pada 12 April, Seniman Hina seniman, berikutan kalangan artis yang menyertai APS09 terbiar bagai anak ayam kehilangan ibu.
Mengenai penganjuran anugerah itu, kata Baharuddin, inilah kali pertama dirinya menjejakkan kaki di majlis yang dianjurkan persatuan yang pernah menyanjung namanya ketika menjadi presiden.
"Saya difahamkan majlis ini kali keempat dianjurkan Seniman. Namun, saya sedih kerana majlis sebelum ini yang dibuat di Kedah, Perlis dan Indonesia tidak pernah menjemput saya.
"Saya tidak tahu sama ada bekas presiden yang lain dijemput hadir atau tidak ke majlis anugerah itu," katanya.
Kekesalan yang menyelubungi Baharuddin tidak bernoktah di situ, malah ia turut dirasai sepanjang berada di Kuching. Tambah mengharukan lagi, rata-rata artis yang lain melahirkan rasa tidak puas hati layanan yang diberikan ahli jawatankuasa pengelola Seniman kepada mereka.
"Saya tidak mengharapkan diberi layanan seperti VIP kerana saya tahu siapa diri saya dan pada awal pangkal nama saya pun tidak tercatat apa-apa gelaran seperti Datuk, Tan Sri.
"Namun, apa salahnya layanan yang diberi kepada saya dan juga artis yang lain tidak berat sebelah oleh mereka selaku penganjur APS09 ini.
"Sebelum majlis kemuncak berlangsung, saya duduk di kerusi barisan kedua. Bagaimanapun, kemudian saya dihalau ke belakang oleh seorang ahli jawatankuasa pengelola Seniman kerana kerusi barisan depan sudah dikhaskan khusus untuk VIP dan mereka yang bergelar Datuk.
"Ketika itu, saya terperanjat dan rasa terkilan sangat dengan layanan ahli jawatankuasa ini kerana ayat yang digunakan olehnya amat menyentuh hati saya.
"Oleh kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan, saya bangun dan pergi ke belakang. Saya tahu saya tiada apa-apa gelaran yang menjurus kepada VIP, namun salahkah bahasa yang digunakan itu lebih beradab dan sopan," katanya.
Bertambah perit lagi, apabila majlis bermula jam 9 malam, namun artis diminta ke Stadium Perpaduan Kuching jam 6 petang dan tiada langsung penyediaan makanan diberikan kepada tetamu yang hadir.
"Awalnya, saya ingat mereka akan menyediakan makanan kepada tetamu. Bagaimanapun, andaian saya salah sama sekali dan terpaksalah saya menahan lapar hingga majlis tamat.
"Saya sebenarnya bukan mengharap sangat mereka menyediakan makanan. Namun, jadual yang mereka berikan tidak teratur serta tidak jelas.
"Lagipun, kami disuruh datang awal dan itu menyebabkan saya fikir mereka sudah menyediakan makanan untuk tetamu yang hadir," ujar Baharuddin.
Kata Baharuddin, bukan saja jadual acara tidak sistematik, malah pada malam majlis anugerah itu tiada langsung kata-kata penghargaan diberikan kepada mereka yang selama ini bersusah payah membangunkan Seniman.
"Kalau kita lihat dalam penganjuran Anugerah Perdana Seniman, terdapat satu segmen yang mengingati Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Harus diingat gelaran Seniman Agung yang diberi pada P Ramlee dicetuskan bekas presiden pertama persatuan itu iaitu Mulup Bin Lemon atau Zainuddin Zimbo. Kemudian atas sokongan media, barulah kita mengiktiraf P Ramlee sebagai Seniman Agung.
"Agak mengecewakan, Seniman yang dikatakan memberi pengiktirafan kepada anak seni daripada anak seni sendiri tidak pernah menghargai pengorbanan Zainuddin dan bekas presiden persatuan itu sebelum ini.
"Saya berasa hiba, sedih dan tersentuh dengan fenomena yang melanda dalam Seniman ketika ini yang begitu mudah melupakan pengorbanan orang lama yang bersusah payah membangunkan Seniman.
"Bagi diri saya sendiri, saya tidak meminta diberi sebarang anugerah untuk segala pengorbanan yang saya lakukan untuk Seniman kerana saya ikhlas untuk membantu rakan-rakan seangkatan.
"Cuma, apa salahnya pada malam majlis itu, sedikit kata-kata penghargaan diberikan kepada mereka yang selama ini sudah bertungkus-lumus membangunkan Seniman," katanya.
Baharuddin berkata, dirinya tidak pernah menyalahkan Presiden Seniman sedia ada dengan kecacatan yang berlaku sepanjang majlis itu berlangsung kerana baginya, Mustapha sudah melakukan yang terbaik untuk APS09.
Bagaimanapun, rasa kesal dengan senario yang berlaku ditujukan khas kepada ahli jawatankuasa pengelola Seniman yang pada firasatnya banyak benda perlu dipelajari oleh mereka sepanjang menganjurkan majlis seperti ini.
"Terlalu banyak perkara AJK pengelola perlu ambil iktibar daripada kelemahan yang ada dan mereka perlu banyak belajar sebelum menganjurkan sesuatu majlis itu.
"Tiada salah sekiranya melantik bekas presiden Seniman yang terdahulu dijadikan sebagai penasihat persatuan itu.
"Lagipun, orang seperti kami luas pengalaman dan tahu selok-belok Seniman. Saya berharap AJK Seniman buka minda dan sekiranya mereka tidak tahu akan sesuatu perkara, usah malu bertanya kerana ia untuk kebaikan persatuan itu sendiri," kata Baharuddin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: