SEPANJANG 13 tahun penganjuran Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) yang berlangsung di Hollywood, California, Amerika Syarikat, negara kita sekali lagi bakal bertanding pada kejohanan itu buat kali keempat.
Nama seperti Dina, Deja Moss, Noryn Aziz dan Iqwal antara penyanyi popular tempatan yang pernah menempa nama pada kejohanan antarabangsa itu sekali gus membawa nama negara ke peringkat antarabangsa.
Sejak tahun 2005, negara menyertai kejohanan itu atas tiket penganjur Allstars Malaysia Sdn Bhd, dan bermula tahun lalu, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) mula mengambil alih untuk mempromosikan negara melalui produk budaya ke peringkat antarabangsa.
Selepas melihat kejohanan yang disertai negara tahun lalu berjaya mengangkat nama negara ke peringkat antarabangsa dengan merangkul 27 pingat daripada beberapa kategori seni yang dipertandingkan, KPKKW merasakan ruang untuk orang ramai mencuba nasib membuktikan bakat mereka perlu diadakan.
Lantas, program WorldStars Road to Hollywood diadakan bagi memilih peserta yang layak mewakili negara ke WCOPA yang akan berlangsung pada 11 hingga 19 Julai depan di Hollywood.
Ketua Delegasinya yang juga Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan (KPKKK), Datuk Mohamed Mohd Daud berkata, matlamat kementerian menghantar peserta yang layak bertanding untuk mengkomersial dan mempromosikan produk budaya tempatan untuk pasaran dalam dan luar negara.
“Pihak kementerian mencari beberapa peserta yang berbakat daripada beberapa kategori seperti penyanyi, pemuzik, penari, peragawan dan pelakon bertujuan membantu artis tanah air memasarkan diri mereka ke luar negara disamping mempromosikan budaya tempatan.
“Buktinya baru-baru ini Noryn dan Iqwal mendapat tawaran syarikat luar negara untuk menerbitkan lagu mereka untuk pasaran di sana.
“Ini adalah tahun kedua pihak kementerian membawa peserta yang layak ke Hollywood selepas dipersetujui oleh jemaah menteri untuk mengikuti WCOPA sebagai pengisian tahunan kementerian.
“Malah kementerian bersama Allstars Performing Arts (M) Sdn Bhd sebagai penganjur menyediakan persediaan yang lebih rapi tahun ini dengan melakukan sesi uji bakat secara terbuka di seluruh negara selama sebulan,” katanya yang boleh menyaksikan pertandingan akhir WorldStars Road to Hollywood secara langsung menerusi TV2 jam 8.30 malam dari Istana Budaya pada 3 Mei ini sebelum memutuskan siapakah daripada peserta lima kategori ini layak ke Hollywood.
Kata Mohamed, pembabitan negara ke WCOPA adalah satu kejohanan bertaraf antarabangsa apabila membabitkan 41 negara yang bertanding tahun lalu.
“Jika tahun lalu, kita bersaing dengan 41 negara yang menyertainya dan berjaya membawa pulang 27 pingat dan tahun ini sebanyak 20 negara baru bakal menyertainya menjadikan jumlah negara yang menyertainya sebanyak 61 negara.
“Saya mengharapkan sekurang-kurangnya kita mampu membawa pulang 30 pingat untuk semua kategori. Sepanjang uji bakat yang diadakan, kita sebolehnya ingin mencari peserta yang mempunyai pakej lengkap iaitu mampu menyanyi, berlakon, menari, bermain alat muzik dan sebagai peragawan.
“Namun bukan mudah untuk mendapatkan pakej yang lengkap seperti itu ini kerana sekiranya ada salah seorang yang mampu melakukan semua elemen seni itu kita akan dapat menjimatkan kos peserta untuk ke Hollywood,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: