Monday, April 6, 2009

Metallica cetuskan fenomena


puluhan belon digugurkan dari atas pentas di akhir konsert metallica di o2 arena stadium, london, united kingdom, baru-baru ini.


SEMUANYA bermula pada awal tahun 1970-an apabila Lars Ulrich yang berhijrah bersama keluarganya sejak kecil dari Denmark ke California, Amerika Syarikat (AS) mempunyai kecenderungan ke arah muzik genre rock.

Semasa berusia 10 tahun, Lars misalnya, sudahpun menyaksikan konsert Deep Purple yang merupakan kumpulan rock terkenal ketika itu.

Demi merealisasikan impiannya, pada 1981 beliau menubuhkan Metallica bersama James Hetfield dan mula menghasilkan album pertama berjudul Kill 'Em All pada 1983 dengan memuatkan banyak lagu popular seperti Whiplash, Seek And Destroy serta Phantom Lord.

Selain Lars dan James, Ron McGovney (bassis) dan Dave Mustaine (gitaris - kini penyanyi dan gitaris kumpulan Megadeth) merupakan anggota asal Metallica.

Kumpulan itu paling mendapat perhatian ramai pada 1986 apabila mereka merakamkan album ketiga berjudul Master of Puppets yang mencetuskan fenomena tersendiri.

Sebagai pemain bass untuk album Kill 'Em All, Ride The Lightning dan Master of Puppets, Cliff Burton dikatakan antara tonggak penting kerana banyak menyumbangkan idea dalam penciptaan lagu-lagu Metallica.

Sayangnya, Cliff terbunuh dalam suatu kemalangan ketika menjayakan konsert bergerak Metallica jelajah Eropah pada 1986 selepas bas yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Album itu membawa banyak angin perubahan dalam senario muzik thrash metal di AS dan Eropah terutama daripada segi bunyi, melodi dan struktur muzik yang mereka hasilkan.

Riff gitar dalam melodi lagu-lagu Metallica yang lebih berat daripada muzik heavy metal yang popular sebelum itu telah mencetuskan suatu fenomena baru di kalangan peminat genre tersebut.

Era kemunculan Metallica pada awal tahun 1980-an turut menyaksikan kebangkitan banyak kumpulan thrash metal seangkatan mereka seperti Slayer, Megadeth dan Anthrax yang juga kebetulan berasal dari California.

Kekuatan Metallica antara lain terletak atas kreativiti dan pengalaman para pemuzik yang menganggotai kumpulan tersebut.

Pemuzik berpengalaman

Sebelum menganggotai Metallica, Kirk Hammett contohnya, merupakan bekas anggota kumpulan thrash metal, Exodus yang juga cukup terkenal di Bay Area, California.

Begitu juga dengan Robert Trujillo yang pernah menganggotai kumpulan hardcore legenda dari California iaitu Suicidal Tendencies.

Bekas pemain bass kumpulan Flotsam and Jetsam, Jason Newsted yang pernah menganggotai Metallica dalam album ...And Justice For All dan Metallica (Black) juga merupakan pemuzik yang berpengalaman.

Selepas 28 tahun ditubuhkan, Metallica mencapai banyak kejayaan terutama daripada segi jualan album-album mereka yang keseluruhannya mencecah hampir 100 juta unit di seluruh dunia.

Album kelima Metallica berjudul Metallica (Black) yang diterbitkan pada 1991 contohnya, telah dijual sebanyak 15 juta unit di AS dan lebih 22 juta di seluruh dunia.

Kejayaan itu meletakkan Metallica dalam senarai 10 kumpulan muzik paling berjaya di AS dan boleh dikategorikan sebagai salah satu kumpulan thrash metal terkaya di dunia!

Populariti dan kekayaan yang diraih termasuklah memiliki pesawat peribadi sendiri, tetapi itu tidak menjadikan mereka bersikap besar kepala, hidung tinggi atau berlagak seperti rock star.

Sebaliknya, daripada segi berpakaian, pergaulan dan keghairahan mereka dalam muzik thrash metal tidak pernah berubah sejak dari dulu.

Sama seperti dulu, Metallica masih gemar memakai kasut sneaker, jeans lusuh dan kemeja-T sama ada di atas pentas atau luar pentas.

Sikap dan penampilan imej Metallica itu dapat dilihat sewaktu mereka mengadakan pertemuan dengan dua wakil media massa dari Malaysia yang turut menyaksikan konsert mereka di O2 Arena Stadium, London, United Kingdom, baru-baru ini.

Lars, James, Kirk dan Robert tiada masalah untuk meluangkan masa bersama-sama wartawan Malaysia di belakang pentas biarpun ketika itu mereka sangat sibuk sebelum tampil ke pentas untuk mengadakan persembahan tersebut.

"Saya rasa berbesar hati kerana anda semua sanggup terbang dari Malaysia untuk menyaksikan persembahan kami. 14 jam penerbangan ke London tentu memenatkan anda," ujar James ketika mengalu-alukan kedatangan kami.

Malah, James amat berbesar hati dan gembira apabila pihak Universal Music Malaysia menyerahkan plak platinum album Death Magnetic yang dijual lebih 20,000 unit di Malaysia kepada beliau.

Biarpun dikelilingi ramai pengawal peribadi, namun semua itu tidak menghalang Metallica untuk melayani permintaan wakil media massa dari Malaysia dan pihak Universal Music termasuklah untuk bergambar serta menurunkan tandatangan mereka.

Sejak tahun 1986, Metallica juga telah mengadakan ribuan konsert di seluruh dunia termasuklah di Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah dan Asia.

Malah, sehingga kini, Metallica terus mantap dan bertenaga dalam meneruskan perjuangan muzik mereka dengan merakamkan album serta mengadakan konsert bergerak ke seluruh dunia.

Terbaru, album kesembilan Metallica berjudul Death Magnetic yang diterbitkan pada tahun lalu menyebabkan mereka kini sibuk mengelilingi dunia dalam siri konsert bergerak World Magnetic Tour 2009 sehinggalah hujung tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: