![]() Noorkhiriah |
Sokongan orang tersayang menguatkan semangat Noorkhiriah teruskan kerjaya lakonan
JIKA ada sesuatu yang amat dihargainya ketika ini, tanpa ragu-ragu pelakon berbakat, Noorkhiriah pasti akan berkata, kehadiran suami yang amat memahami diri serta karier diceburi.
Selepas tiga tahun melayari bahtera rumah tangga, pasangan Noorkhiriah Ahmad Shapie dan Afzaizul Ahtan terus berbahagia. Sikap saling menghormati dan memahami, mungkin menjadi tunjang terbaik bagi mengukuhkan ikatan suami isteri. Pelakon itu sendiri amat mensyukuri rahmat pemberian Tuhan dalam bentuk seorang lelaki yang cukup bertolak ansur, juga amat menyayangi dirinya.
Akui anak seni kelahiran Raub, Pahang ini, sudah pastilah kehidupan sesudah bergelar isteri agak berbeza dengan kehidupan sewaktu dia masih berstatus bujang.
"Kini, apabila Noor ingin keluar rumah atau melakukan sesuatu perkara, izin suami perlu diminta terlebih dulu. Sekarang juga, Noor cuba memastikan, setiap kali keluar daripada rumah, Noor dulu yang akan pulang ke rumah sebelum suami," katanya yang membahasakan dirinya sebagai Noor saja.
Lebih daripada itu, kata pelakon ini, suaminya memberikan sokongan tidak berbelah-bagi kepadanya tatkala menghadapi saat duka setelah dia keguguran hampir dua tahun lalu. Sehingga kini, kedua-duanya masih terus mencuba untuk menambahkan jumlah anggota keluarga.
![]() |
"Nampaknya sehingga hari ini, Noor belum diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata sendiri. Noor juga sudah mencuba pelbagai cara untuk memastikan Noor hamil dengan lebih mudah.
“Apabila melihat rakan-rakan mempunyai anak-anak, tentulah jauh di lubuk hati Noor agak terasa. Tetapi, jangan salah sangka! Bukan Noor berdengki, sebaliknya Noor tertanya sendiri, apalah salah Noor sehinggakan ke hari ini Noor belum hamil lagi?" tanya pelakon ini.
Menurut wanita berusia 32 tahun ini, sememangnya dia teringin mempunyai anak sendiri. Pada masa yang sama dia kerisauan mengenangkan usianya juga semakin bertambah.
"Ada kalanya, apabila mengenangkan perkara ini, Noor berkata sendiri, alangkah ruginya Noor tidak berkahwin ketika usia masih muda dulu," katanya sambil disulam senyuman manis, tetapi penuh bermakna.
Ada ketikanya juga dia ‘terasa’ apabila sanak saudara atau rakan taulan mula bertanya bilakah lagi dia akan mempunyai anak setelah beberapa tahun membina mahligai? Nasib baiklah, katanya, si suami banyak memberikan dorongan.
Bercerita mengenai anak, dia memberitahu, jika diizinkan Tuhan dia mahukan keluarga yang sederhana besarnya. Lebih-lebih lagi, dia sendiri mempunyai lima adik-beradik, yang dilihat pelakon ini sebagai tidak begitu ramai dan tidak juga sedikit jumlahnya.
Rezeki lakonan kian kencang
PELAKON ini memberitahu, selepas memenangi trofi Pelakon Pembantu Drama Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin 2007 menerusi drama Nek Kiah, rezekinya semakin mencurah-curah dalam lakonan.
Selepas lebih sedekad menghambakan diri pada seni, barulah kini dia berasakan kehadirannya benar-benar dirasa oleh peminat dan penggiat industri.
"Alhamdulillah, nampaknya rezeki Noor dalam bidang lakonan tidak putus sejak akhir-akhir ini. Noor baru saja menamatkan penggambaran dua projek televisyen, Diari Mak Ayam dan Mana Arah Kiblatku bersama pengarah Rashid Sibir.
“Dalam telefilem pertama yang akan disiarkan April ini, Noor diberikan watak wanita hamil angkara teman lelaki, seterusnya terjebak dalam dunia GRO.
"Manakala dalam telefilem kedua Noor menjadi tomboy kampung. Telefilem yang akan ditayangkan Mei ini turut mempunyai babak di mana Noor dirogol atas jalan," katanya yang menganggap Rashid sebagai antara pengarah terbaik di negara ini.
Diari Mak Ayam dilakonkan Noor bersama Mariani, Norlia Ghani, Sofia Ibrahim dan Khir Rahman, sementara Mana Arah Kiblatku turut dijayakan Fouziah Gous, Jalil Hamid, Fezrul Khan dan sekali lagi seniwati Mariani.
Sesudah menjayakan dua telefilem terbabit, Noor berkejar pula ke lokasi Matahari. Sekali lagi, dia diberikan watak perempuan GRO, tetapi kali ini lebih hitam. Telefilem ini sudah disiarkan pada 30 Mac lalu. Turut beraksi bersama-samanya dalam judul arahan Feroz Khan ini ialah Lis Dawati, Fahrin Ahmad, Aida Aris, Fauzi Nawawi dan Maimon Talib.
Debaran ABPBH 2008
WATAK Eton dalam siri kelakar, Pepaya dianggap Noor sebagai antara peranan yang menyebabkan lebih ramai peminat mengenali siapa dirinya, seterusnya memangkah nama pelakon ini untuk dicalonkan ke peringkat akhir kategori Artis Komedi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.
Justeru, dia amat berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit menjayakan siri komedi berkenaan. Bersaing bersamanya dalam kategori itu ialah Amyza Aznan, Sheila Mambo, Kenchana Dewi dan Ruminah Sidek.
"Saya memang tidak percaya apabila melekat pada senarai Top 5 ABPBH 2008. Lebih-lebih lagi, saya dicalonkan dalam kategori komedi. Namun, Pepaya nampaknya benar-benar menyerlahkan nama saya sebagai pelakon yang bukan saja boleh beraksi dalam drama sedih.
"Jika ditanya pada Noor, tentulah Noor berasakan tidak ramai peminat mengenali diri Noor. Atas alasan itu, Noor cukup bersyukur apabila nama Noor melekat pada senarai Top 5 anugerah itu tahun ini," katanya sambil mendedahkan ramai peminat mula memanggil dirinya Eton dek penangan siri terbabit.
PROFIL: Noorkhiriah
- NAMA: Noorkhiriah Ahmad Shapie
- TARIKH Lahir: 11 April 1977
- TEMPAT Lahir: Raub, Pahang
- ZODIAK: Aries
- TINGGI: 154 sentimeter
- BERAT: 43 kilogram
- STATUS: Berkahwin
- SUAMI: Azfaizul Ahtan
- HOBI: Memasak dan membaca
- PENCAPAIAN: Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama), Anugerah Skrin 2007 & Finalis ABPBH 2008 kategori Artis Komedi Wanita Popular.


saya suka melihat lakonan noor dalam sumer drama dan ditambah noor pulak sekarang semakin berseri2 dgn kehamilan yg kedua niee...sy harap noor sentiasa bahagia dan dilindungi allah SWt selalu...good luck...
ReplyDeleteKelakar tengok lakonan dia dalam Nur
ReplyDelete