|
| "JIKA filem Long Khong berkisar mengenai ilmu hitam, Banpeesink (The House) pula hantu tiang seri, filem seram terbaru Thailand ini, Naak atau Deep In The Jungle pula mempunyai tarikan tersendiri kerana ia kisah ular besar dan manusia separuh haiwan yang tinggal di hutan," kata Pengarah Pemasaran Sun Master (Bangkok) yang juga AJK Persekutuan Filem Kebangsaan Thailand, Michael Rafiq. |
Menurut Rafiq, berdasarkan selera penonton Malaysia pada filem seram, dia percaya Naak yang bermaksud Naga dalam bahasa Thai boleh mendapat sambutan seperti Long Khong dan Banpeesink.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran United International Pictures (UIP) yang mengedarkan filem Naak di Malaysia, Kara Lee, berkata Naak hasil tulisan dan garapan Teerawat Rujeenatham mempunyai kekuatan dari segi teknik kesan khas CGI yang digunakan.
"Selain itu, filem ini dibantu lakonan mantap gandingan pelakon utamanya iaitu Jesadaporn Pholdee dan Ploy Jindachote," katanya.
Kara berkata, Naak juga bakal menjengah pawagam tempatan seluruh negara bermula 16 April nanti.
"Pihak kami juga mengekalkan judul Naak untuk pasaran di Malaysia.
"Sebelum ini, UIP sudah mengedarkan filem seram Thailand seperti Long Khong dan Dorm dan bagai dijangka, ia mendapat sambutan hebat daripada peminat filem tanah air.
"Justeru, pihak kami yakin Naak akan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat tempatan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, filem Thai tetap menjadi pilihan orang kita kerana cara hidup dan budaya mereka sangat dekat di hati masyarakat tempatan.
"Berdasarkan maklum balas penonton sebelum ini, cerita alam ghaib, sains fiksyen seperti naga dan ular besar memang mendapat sambutan peminat tempatan sebelum ini," katanya.
Naak mengisahkan Nawin (lakonan Jesadaporn) yang juga ajen rahsia yang memutuskan untuk keluar daripada pasukannya kerana menyedari mereka menjalankan prosedur siasatan yang menyalahi undang-undang dan membabitkan pihak berkuasa antarabangsa.
Walaupun, Nawin berusaha untuk mengelakkan dirinya daripada terjebak siasatan itu, gerak gerinya sentiasa diperhatikan mereka hingga dia akhirnya tertanya-tanya apakah yang sebenarnya berlaku.
Sementara itu, Jin, wanita muda yang diselamatkan Nawin daripada serangan kejam pula melalui proses transformasi aneh dalam tubuhnya kerana darahnya mengandungi mutasi.
Nawin percaya, tranformasi yang berlaku pada Jin yang tubuhnya separuh manusia dan haiwan ada kaitan dengan pembabitan pihak antarabangsa.
Apapun, Nawin juga memutuskan untuk membantu Jin dengan membawanya pulang ke tempat kelahirannya. Dalam perjalanan pulang ke rumah, kesakitan Jin berkurangan dan hubungan Nawin dan Jin menjadi rapat dan mereka jatuh cinta.
Namun, apabila sampai masanya, Nawin perlu memilih sama ada Jin atau hidupnya sendiri. Dia mula sedar adakah itu sekadar imaginasinya semata-mata atau sebaliknya.
Filem ini dibarisi pelakon Jesadaporn Pholdee (Nawin), Ploy Jindachote (Jin), Sakda Keawbuadee (Jaiy) dan Pasin Ruengwut (Manut).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: