
Barisan Archies atau Arch Angels (gelaran bagi peminat David Archuleta) sudah boleh bersedia sekarang. Penyanyi comel kelahiran program American Idol musim ketujuh itu akan menyemai cintanya di Malaysia.
Archuleta dijadualkan berada di negara ini selama empat hari bermula 8 hingga 12 April ini dalam siri promosi album sulung dengan judul namanya sendiri, David Archuleta.
Tidak lengkap promosi tanpa persembahan eksklusif. Mengetahui permintaan dan tidak mahu mengecewakan tentera Archies, pihak syarikat rakaman Archuleta, Sony Music bekerjasama dengan penaja, DiGi, membawakan persembahan David Archuleta Live in KL di Sunway Lagoon Amphitheatre pada 11 April 2009 bermula pukul 3 petang.
Dilahirkan sebagai David James Archuleta, remaja ini menggamit perhatian khalayak dengan wajah mulus dan senyuman umpama madu setiap kali membuat persembahan dalam pertandingan yang mencetus fenomena, American Idol. Dia juga mendapat kelebihan kerana mempunyai vokal gemeresik - sesuai dengan penampilan dirinya yang sentiasa kelihatan manis.
Biar tidak menjadi juara, Archuleta telah lama menang dalam hati peminatnya. Menerima undian sebanyak 44 peratus daripada 97 juta undian, remaja berusia 18 tahun ini tidak menempuh laluan yang sukar untuk mencipta nama sebagai pendatang baru.
Pada Jun 2008, Archuleta menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman Jive Records sebelum November tahun yang sama, dia muncul dengan album sulungnya yang terjual sebanyak 700,000 unit hanya di Amerika dalam tempoh kurang enam bulan. Dan single pertamanya, Crush menjadi kegilaan.

Mengulas mengenai karier seninya yang berkembang baik, kata Archuleta, muzik sudah menjadi darah dagingnya sejak usia enam tahun. Pelbagai pertandingan telah menjadi makanannya dan American Idol bukanlah satu-satunya medan buat dia mempamerkan bakat.
Archuleta pertama kali membuat persembahan di khalayak pada usia 10 tahun dengan menyertai pertandingan nyanyian Utah Talent dan penampilan sulungnya di kaca televisyen pula dibuat setahun selepas itu menerusi program Latino.
"Hanya American Idol benar-benar telah mencabar kredibiliti saya. Dan saya harus berterima kasih kepada klip video Les Miserables yang saya tonton pada usia enam tahun kerana dari situlah cinta saya terhadap bidang ini tumbuh," kata penyanyi yang banyak dipengaruhi ibunya yang merupakan seorang penggemar muzik Latin.
Malah, tambah Archuleta, perjalanan yang sedang ditempuh kini sungguh luar biasa. Tidak pernah terbayang dia akan menjadi seorang penyanyi 'besar'.
Katanya: "Saya rasa tindakan saya tidak menghabiskan kelas tarian untuk menyertai American Idol adalah tindakan yang bijak. Dalam masa setahun kebelakangan ini, kehidupan saya berubah secara total. Tapi saya sukakannya kerana ia perubahan yang positif."
Ditanya apa yang diimpikan saat ini, Archuleta berkata, dia bermimpi untuk hidup selama 100 tahun. Alasannya agar dia mampu terus berkarya dan membikin banyak hal dalam period kehidupan 100 tahun itu.
"Walaupun 100 tahun itu jangka yang panjang dan mungkin akan ada banyak rintangan, tapi ia adalah tempoh yang baik untuk saya mengutip pengalaman dan melakukan banyak perkara supaya kehidupan saya lebih bermakna.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: