Saturday, April 4, 2009

Linda mahu terus kahwin dengan James





LINDA sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri.


TANPA berselindung, pengacara dan penyampai radio popular, Linda Onn akhirnya mengaku dirinya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam waktu terdekat.

Penyampai radio Sinar FM itu berkata, dia sudah membuat keputusan untuk berkahwin dengan calon pilihan hatinya.

"Saya sudah ke arah ini (kahwin). Insya-Allah, pada tahun ini kalau ada jodoh. Selebihnya saya tidak berani mahu komen," akui Linda Onn ketika ditemui pada majlis meraikan media di My Asam Pedas Shop di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Barangkali niat Linda untuk mendirikan rumah tangga tidak diketahui oleh banyak pihak termasuk pihak media dan juga peminat sebelum ini.

Semuanya bermula apabila gambar Linda tersiar di sebuah laman web kursus praperkahwinan sehingga memaksa tuan punya badan menjelaskan perkara sebenar.

Ya, akui Linda, dia berada di sana untuk mengikuti kelas praperkahwinan di Setiawangsa, Kuala Lumpur sekitar dua tiga minggu lalu.

Tanpa berdolak-dalih, wanita berusia 31 tahun itu menjawab, setelah berpendirian untuk mendirikan mahligai perkahwinan, sudah pastilah dia kena mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Apabila ingin kahwin, kita kena ada sijil kursus perkahwinan terlebih dahulu. Ini merupakan persediaan awal supaya saya tidak perlu risau untuk menghadiri kursus kemudian hari.

"Menerusi kursus kahwin ini, saya dapat mempelajari sedikit sebanyak tentang perkahwinan dan hubungan suami isteri. Paling penting, kalau sudah ada sijil, senang untuk saya kahwin pada bila-bila masa," jawab Linda tergelak kecil.

Lupakan seketika soal kursus kahwin Linda. Sekarang peminat pasti tertanya-tanya dengan siapakah wanita tinggi lampai itu akan menamatkan zaman solonya.

Apakah Linda kini sedang menyulam cinta dengan seorang jejaka kelahiran United Kingdom (UK), James Gibbs?

Linda dan lelaki itu muncul bersama-sama ketika menghadiri majlis resepsi perkahwinan penyanyi popular, Mawi dan Ekin yang diadakan di Hotel Palace of the Golden Horses, Januari lepas.

Linda terdiam seketika sebelum diberi kekuatan untuk menjawab pertanyaan nakal pihak media. Setelah menarik nafas, Linda menjawab: "Setakat ini memang saya keluar dengan dia."

Namun, untuk menjaja lebih terperinci kisah cintanya dengan lelaki itu bukan menjadi 'permainan' Linda sebelum sebarang kata putus dinokhtahkan.

Takut yang dirancang, lain pula jadinya. Lantaran itu, Linda lebih suka menguncikan bibirnya rapat-rapat tentang lelaki yang bakal bergelar suaminya kelak.


MUNGKINKAH ketika ini Linda sedang sibuk dengan persiapan perkahwinannya?


"James merupakan kenalan lama yang saya kenali sejak 10 tahun dulu. Kami kenal di Kuala Lumpur dan dia pernah menjalankan perniagaan di sini.

"Dia datang semula ke Malaysia pada bulan Januari lalu dan boleh dikatakan hubungan kami sudah berada di tahap yang serius sejak dua bulan lalu. Lain-lainnya, saya belum berani untuk beritahu," ujarnya ringkas mohon dimengertikan.

Bijak betul Linda menyimpan rahsia teman lelakinya itu. Dia tidak sesekali mengiyakan atau tidak menidakkan persoalan tentang James, sebaliknya mahu masyarakat menunggu perkembangan selanjutnya.

"Saya enggan membazirkan masa dan wang untuk melakukan majlis pertunangan secara besar-besaran, tetapi saya mahu terus bernikah jika sudah menemui calon yang sesuai," tutur Linda yang mengidamkan sebuah majlis perkahwinan dengan tema dalam taman.

Linda ketika ditanya tentang harapan tentang rumah tangga yang bakal dibinanya tidak lama lagi berkata, setiap manusia sudah tentunya mahukan kebahagiaan dalam melayari rumah tangga.

"Saya tidak mahu gaduh-gaduh, saya mahu suami yang jujur dan setia, beriman dan dapat mengemudikan rumah tangga kami dengan aman dan harmoni hingga ke akhir hayat.

"Setiap manusia juga mahukan impian yang sama bukan?" soal Linda serius.

Bapa terima pilihan

Bapa Linda, Onn Chik, 76, pula menyerahkan soal jodoh kepada anaknya sendiri, lebih-lebih lagi perkara tentang perkahwinan melibatkan kebahagiaan mutlak Linda sendiri.

"Saya tidak masuk campur dalam soal pemilihan menantu. Siapa sahaja yang Linda pilih, saya menerima dengan hati terbuka dan restu dengan keputusannya.

"Semuanya terpulang kepada Linda, malah saya selalu berdoa kepada Tuhan supaya anak saya mendapat lelaki yang baik hati dan bertanggungjawab.

"Saya tidak boleh cakap suka atau tidak tentang pilihan Linda. Sebagai manusia biasa, masing-masing ada kelemahan sendiri, siapa-siapa sahaja boleh jadi suami Linda," jawabnya jujur.

Sambung Onn lagi, Linda sebelum ini tidak pernah bercerita terus kepadanya tentang lelaki yang bertakhta di hatinya.

"Barangkali dia segan untuk berkongsi cerita dengan saya. Namun, siapa tahu suatu hari nanti apabila dia sudah sedia, kemungkinan dia akan beritahu kepada saya juga," ujarnya.

Apabila ditanya tentang James, bapa Linda pantas menjawab: "Saya tidak mahu komen. Saya cuma mahukan dia dapat jodoh dengan orang baik-baik. Itu sudah memadai untuk saya serta keluarga."

Tak pernah marah wartawan

Pihak wartawan dan golongan artis ibarat dua pihak yang saling memerlukan di antara satu sama lain. Sama halnya dengan Linda yang cukup menghargai tugas para media.

Positif atau negatif, hitam atau putih cerita yang ditulis, Linda tidak pernah berdendam dengan mana-mana wartawan. Itulah yang diungkapkan Linda secara berterus terang.

"Kalau ada sebarang cerita negatif tentang saya di media cetak, saya tidak akan mudah melenting.

"Walaupun dalam seharian suntuk hati berdarah membaca cerita yang ditulis, saya masih lihat perkara itu dalam sudut positif.

"Sekurang-kurangnya ia menjadi publisiti untuk saya walaupun ada pro dan kontranya. Senang cerita, saya tidak mengambil hati dan faham bahawa wartawan hanya melakukan kerja mereka serta menulis cerita yang mereka tahu," jelasnya.

Sebagai manusia biasa, Linda mengakui ada kalanya juga dia menjeruk rasa, kecil hati, geram, marah dan merajuk. Namun seboleh-bolehnya dia akan mengawal keadaan daripada menjadi teruk.

Rahsianya, dia hanya perlu berfikir positif dan beranggapan gosip yang terjadi sebagai asam garam bergelar seorang artis.

Bercakap tentang majlis meraikan pihak media, terang Linda, sebelum ini dia ingin mengadakan majlis pelancaran My Asam Pedas Shop yang baru sahaja diusahakannya pada bulan Julai tahun lalu.

"Bagaimanapun, saya dapat idea untuk mengadakan majlis pelancaran restoran dan meraikan pihak media dengan mengadakan malam apresiasi untuk mereka.

"Sekurang-kurangnya, dapatlah juga saya berkenalan dengan pihak media serta berkenalan di antara satu sama lain dengan lebih rapat lagi," katanya.

Majlis tersebut diserikan dengan gelak tawa Salleh Yaakob yang menghiburkan pihak media dengan mendendangkan dua buah lagu.

Pertandingan karaoke turut diadakan yang menampilkan Salleh dan Linda menjadi 'pengkritik' pada malam itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: