![]() |
| BERSAMA ibu tersayang, Salamiah Hassan yang sentiasa bersama Atilia dalam susah dan senang. |
HATI mana yang tidak luluh mengenangkan mahligai yang dibina atas nama cinta akhirnya musnah dan hancur berkecai.
Tetapi, mengenangkan perjalanan hidup yang sudah tertulis di lohmahfuz, siapalah kita untuk menolak kehendak takdir.
Sememangnya kita sebagai manusia dan hamba kepada Allah SWT, kita hanya mampu berusaha dan bertawakal manakala selebihnya diuruskan oleh Allah untuk menentukan apakah yang terjadi sebaliknya.
Begitulah diibaratkan dengan perjalanan hidup penyanyi jazz kontemporari, Atilia yang ternyata menerima ketentuan hidupnya apabila dia kini tidak lagi memegang status sebagai seorang isteri.
Mungkin bagi sesetengah wanita, perkara itu sungguh pahit untuk ditelan tetapi bagi Atilia, dia begitu optimis dengan kehidupannya sebagai seorang wanita dan juga anak seni.
Malah, dia juga tidak mahu lagi membebankan fikirannya dengan kisah perceraiannya tetapi sebaliknya, dia mahu meneruskan kehidupannya sementelah karier seninya juga semakin hari semakin mekar mengharum.
Mengunci rapat rahsia perkahwinannya yang mula bergolak sejak tahun lalu walaupun sudah dapat dihidu oleh pihak media, namun, Atilia bijak menangkis segala-galanya.
Dirinya mengakui ketika itu masih belum bersedia untuk berkongsi dengan masyarakat tentang kisah rumah tangganya dan apatah lagi, dia merupakan seorang artis yang enggan mencampuradukkan perihal kerjaya dan peribadi.
Akhirnya, Atilia membuka cerita itu kepada pihak media setelah dia sendiri merasakan tiada lagi kudrat dalam dirinya untuk terus menyambung ikatan cinta bersama bekas suaminya, Ariff Johan Abdul Aziz.
Namun pun begitu, pemilik nama sebenar Raja Putri Atilia Raja Haron ini tidak mahu bercerita dengan mendalam tentang punca sebenar perceraian dengan lelaki yang dikahwininya atas dasar cinta itu.
"Cukuplah apa yang telah berlaku. Biarlah hanya saya, dia dan Allah sahaja yang tahu. Saya juga tidak mahu mengaibkan sesiapa. Lagipun, saya sudah tidak mahu memanjangkan cerita kerana saya perlu teruskan kehidupan saya.
"Biarpun saya dan Ariff tidak lagi mempunyai ikatan yang sah, namun, kami masih lagi berhubung antara satu sama lain kerana masih lagi menyayangi ikatan persahabatan yang sudah lama terbina ini," luahnya tenang saat dihubungi baru-baru ini.
Menyingkap tirai kenangan mereka berdua, masing-masing mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada 18 Disember 1998 selepas hampir enam bulan berkenalan.
Jelas Atilia lagi, dia dan Ariff mula tinggal berasingan sejak tahun lalu dan dalam masa yang sama, mereka berusaha untuk memulihkan hubungan mereka dengan harapan ada sinar untuk menyambung kembali ikatan suci mereka.
melafazkan talak
Tetapi apa kan daya. Baik Atilia mahupun Ariff, kedua-dua tidak lagi mampu untuk hidup bersama dan Januari lalu, menyaksikan Ariff melafazkan talak satu kepada Atilia sambil disaksikan bapa Atilia, Raja Haron Raja Aziz dan menandakan putus sudah kasih sayang antara mereka.
"Hanya Allah sahaja tahu bagaimana perasaan saya ketika itu dan air mata saya mengalir tanpa henti dan begitu juga dengan dirinya. Saya bukanlah jenis yang suka bercerita kepada orang tentang masalah saya kerana saya seorang yang cukup berahsia.
"Saya hanya berkongsi cerita dengan teman-teman rapat serta ibu dan bapa saya. Alhamdulillah, berkat sokongan dan semangat yang diberikan oleh mereka menjadikan saya lebih kuat untuk meneruskan hidup ini," ujarnya yang dilahirkan pada 18 September 1974 itu lagi.
Atilia juga tidak pernah menganggap perceraian ibu dan bapanya sebagai refleksi atas apa yang berlaku ke atas dirinya.
"Siapa yang tidak mahu bahagia dan memiliki perkahwinan yang kekal sehingga ke akhir hayat tetapi semuanya sudah tertulis dan ditakdirkan. Kita harus menerimanya," ungkapnya ringkas.
Ditanya tentang kemungkinan punca perceraiannya disebabkan ketiadaan anak yang menjadi penyeri setiap pasangan suami isteri, Atilia tidak menafikan perkara itu.
Malah, satu-satunya puteri kesayangan penyanyi malar segar, Salamiah Hassan ini turut mengakui punca perceraiannya itu juga datang daripada dirinya sendiri.
"Di awal perkahwinan kami, memang kami merasakan masing-masing belum bersedia untuk menimang cahaya mata lantaran kami masih muda dan masih lagi di peringkat mengenali hati budi masing-masing. Dalam erti kata lain, kami bercinta selepas berkahwin.
"Kemudian, beberapa tahun selepas berkahwin, kami merasakan kami sudah bersedia untuk membina keluarga tetapi tiada rezeki pula untuk kami memiliki anak.
"Saya tidak pernah meletakkan kesalahan mahupun menuding jari kepada Ariff atas apa yang berlaku kerana saya tahu saya juga ada kekurangannya dan tidak menjalankan tanggungjawab sepenuhnya sebagai seorang isteri.
"Mungkin ini semua hikmah untuk saya agar menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab selepas ini dan muhasabah diri saya untuk memperbaiki diri agar menjadi seorang yang lebih baik.
"Andai kata saya bertemu jodoh lagi selepas ini, saya mahu terus menimang cahaya mata dan tidak mahu lagi menangguh kerana saya memang sudah bersedia untuk menjadi seorang ibu," katanya penuh jujur sambil memberitahu mereka sempat meraikan ulang tahun perkahwinan mereka ke-10 dan ia merupakan momen terindah serta manis buat Atilia.
menemui pengganti
Diusik adakah kini sudah menemui pengganti, sambil ketawa, Atilia memberitahu, dia tidak mahu memikirkan tentang perkara itu walaupun mengakui pernah keluar dengan seseorang.
"Entah, selepas itu, saya rasa belum masanya untuk saya mencari pengganti kerana saya mahu menumpukan perhatian kepada karier dan kerja saya. Itu lebih penting sekarang ini," tegasnya.
Menutup kisah itu, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Sangkar ini ternyata lebih teruja untuk membicarakan tentang perjalanan seninya yang sudah menampakkan hasil yang cukup lumayan.
Biarpun namanya tidak popular seperti mana-mana penyanyi wanita yang sedia ada, tetapi, Atilia yang diberi jolokan Ratu Lagu Iklan ini tetap berada dalam kelas serta mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri.
Masih lagi sibuk dengan penghasilan album keduanya yang sudah 50 peratus disiapkan dan akan dipasarkan sekitar bulan Jun ini, Atilia memberitahu dia gembira dengan apa yang dimilikinya sekarang biarpun dia agak lewat memasuki arus perdana industri muzik tempatan.
Sebagai contoh, pada Festival Muzik Antarabangsa Sunburst KL 2009, buat kali kedua, Atilia diberi peluang membuat persembahan dan bergandingan dengan kumpulan popular Indonesia, Maliq & D'Essentials.
Malah, semalam (5 April), sekali lagi, mereka diberi penghargaan untuk membuka tirai persembahan sempena persembahan istimewa penyanyi antarabangsa terkenal, Jamiroquai sempena Grand Prix Formula Satu Malaysia.
"Peluang berkolaborasi dengan Maliq & D'Essentials memberi seribu makna dalam diri saya untuk lebih dikenali di Indonesia. Saya bertuah kerana dapat berkerjasama dengan mereka untuk album kedua saya.
"Saya bersyukur kerana sebelum ini pun, nama dan lagu saya sudah mendapat perhatian oleh peminat di sana.
"Antara lagu yang diminati di sana adalah Sangkar dan Selalu Denganmu. Saya juga akan melancarkan album pertama dan kedua saya serentak di sana nanti," katanya.
Sudah menjadi rezekinya, Atilia yang memiliki suara lunak itu juga mendapat perhatian pengarah tersohor, Yasmin Ahmad apabila suara nyanyiannya dipinjamkan untuk watak Melur lakonan Pamela Chong menerusi filem Talentime yang kini sedang hangat ditayangkan.
"Kedua-dua lagu ciptaan Pete Teo berjudul Kasih Tak Kembali dan Angel dalam dua versi iaitu Melayu dan Inggeris memang begitu indah. Bayangkan, saya menghayati lagu-lagu itu dan merakamkannya dalam keadaan gelap semata-mata untuk mendapatkan penghayatan.
"Saya menangis di penghujung lagu dan hasilnya membuatkan semua berpuas hati. Insya-Allah, lagu Angel versi Melayu yang liriknya ditulis oleh saya akan dimainkan di radio tidak lama lagi," katanya yang bercadang mahu memuatkan lagu tersebut dalam album keduanya nanti.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: