KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Jamal Abdillah atau Jamal Ubaidillah Ali, 49, diberikan kawalan rapi setiap kali membuat persembahan dan aktiviti luar bagi mengelak dijebak anasir tertentu menjerumuskan semula penyanyi kacak itu ke kancah penyalahgunaan dadah.
Malah, bagi menangkis sebarang usaha tidak bertanggungjawab pihak berkenaan, penyanyi kelahiran Teluk Intan, Perak, itu disediakan kenderaan dilengkapi pemandu dan seorang pengiring bagi memastikan tiada pihak cuba mengambil kesempatan.
Pengetua Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Mohd Yunos Pathi, berkata Jamal dibenarkan meninggalkan pusat berkenaan bagi menyertai program atau aktiviti seni di luar pusat itu.
Menurutnya, bagi memastikan tiada pihak cuba ‘mencemarkan’ imej penyanyi itu lagi, Pengasih menyediakan seorang pemandu dan pengiring sepanjang menyertai program seni atau kemasyarakatan di luar pusat berkenaan.
| |
“Walaupun ia seolah-olah mengongkong Jamal, kaedah itu diminta sendiri penyanyi berkenaan.
“Lebih penting, kami tidak mahu menghalang aktiviti penyanyi itu yang mempunyai keistimewaan tersendiri untuk kebaikan sendiri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Mohd Yunos berkata, walaupun selesai menjalani program pemulihan hampir dua tahun di pusat itu, penyanyi berkenaan masih mahu kekal bersama penghuni rumah Pengasih kerana selesa dengan keadaan dan program yang dianjurkan.
Katanya, Jamal tidak mahu tinggal di luar kerana bimbang godaan dan cabaran anasir luar yang boleh mempengaruhinya ke tabiat lama menagih dadah.
Walaupun dia seorang penyanyi terkenal, apabila berada di pusat itu, Jamal tetap dilayan seperti penghuni lain termasuk mengikuti program yang boleh meningkatkan kekuatan dalaman penghuni.
“Apa yang pasti, Jamal menunjukkan komitmen tinggi sepanjang tinggal di pusat itu, malah sering dilihat solat berjemaah dan menjalankan aktiviti bersama penghuni lain.
“Saya yakin pelbagai program di pusat itu menyebabkan Jamal tidak rela meninggalkannya walaupun mampu membina kehidupan baru lebih selesa jika tinggal di luar,” katanya.
Sebagai pengetua, Mohd Yunos akan memantau setiap pergerakan penyanyi itu termasuk ketika mengadakan persembahan atau program seni di negeri lain.
Tanpa berselindung, beliau berkata, sebagai penghuni, Jamal bukan saja tinggal di pusat itu, tetapi turut memberikan sumbangan dari segi kewangan tanpa diminta.
Sementara itu, katanya, bagi memastikan penghuni pusat berkenaan bebas aktiviti penyalahgunaan dadah, ujian air kencing mengejut diadakan terhadap penghuni yang dicurigai.
Menurutnya, Jamal turut menyedari peraturan itu dan buat masa ini, dia benar-benar bebas daripada gejala tidak sihat itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: