|
| PERLUMBAAN Kejuaraan Formula 1 (F1), Grand Prix Malaysia yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) esok pasti dinantikan ramai peminat untuk menyaksikan pelumba kegemaran beraksi depan mata. |
Di sebalik keterujaan peminat hadir ke lokasi perlumbaan itu, kehangatan acara ini sebenarnya sudah mula dirasai sejak sebulan lalu apabila pelbagai acara promosi dijalankan.
Kelmarin, bertempat di Pavilion, Kuala Lumpur, dua pelumba pasukan Ferrari Shell, Kimi Raikkonen dan Felipe Massa meluangkan masa hadir pada satu acara sesi bertemu peminat. Kehadiran dua pelumba profesional ini juga seperti selebriti terkenal yang mempunyai ramai peminat bukan hanya di negara ini, tetapi di serata dunia.
Sungguhpun dua pelumba ini hanya meluangkan masa hampir setengah jam sebelum beredar untuk latihan di SIC, ia sudah cukup mengubati rindu peminat yang menanti beberapa jam lebih awal.
Dalam kalangan peminat yang hadir, penyanyi rentak jazz dan swing, Sharizan Borhan tidak ketinggalan berkongsi pengalaman manis bertemu dua pelumba terkenal itu. Akui Sharizan, dia juga peminat setia pasukan Ferrari Shell.
Sebelum ini, Sharizan bersama anak kedua, Kayden Lee berkongsi minat sama mengumpul koleksi model kereta Ferrari Shell sejak edisi pertama tiga tahun lalu hingga lima model kereta edisi terbaru yang mempunyai kelebihan fungsi Touch Steering yang dilancarkan secara rasmi awal bulan lalu.
Namun, pada sesi bertemu peminat yang diadakan kali ini, Sharizan diberi kepercayaan menjalankan tanggungjawab sebagai pengacara majlis. Biarpun pernah mengacara pelbagai majlis sejak berkecimpung dalam bidang nyanyian 16 tahun lalu, dia mengakui tugas yang digalas bukan mudah untuk dilaksanakan.
Kata Sharizan, 35, pengacara perlu melakukan persediaan rapi sebelum majlis bermula supaya apa yang dirancang penganjur berlangsung sempurna. Selain memastikan tubuh badan sihat dan cukup tidur, pengacara digalakkan membuat kajian demi menambah pengetahuan mengenai majlis dikendalikan serta melakukan latihan sendiri berulang kali.
"Walaupun tugas pengacara nampak mudah pada pandangan penonton, sebenarnya mereka juga berdebar kerana perlu bersedia secukupnya. Pada saya, tanggungjawab mengacara suatu yang mencabar dan besar.
"Apabila diberi tugas, bermakna penganjur meletakkan kepercayaan kepada pengacara untuk mengendalikan sesuatu acara dengan lancar.
"Bagi saya, apa yang mahu dilakukan adalah memberikan persembahan terbaik. Seperti acara pada hari ini (kelmarin), ia bukan mudah kerana saya perlu mengawal keadaan terutama membabitkan media dan peminat.
"Dalam acara ini, apa dapat kita lihat, peminat menjerit dan marah apabila media berada di depan yang menghalang mereka mengambil gambar pelumba kegemaran mereka.
"Saya sendiri faham situasi apabila media melakukan tugas untuk merakam aksi pelumba berkenaan dan saya juga perlu bersikap adil supaya peminat berpeluang mengambil gambar.
"Dalam situasi agak kecoh ini, pengacara perlu cekap memainkan peranan dengan memberi arahan pada mereka supaya bertenang," katanya.
Sama seperti peminat yang hadir, Sharizan tidak berpeluang bergambar peribadi bersama dua pelumba hebat ini kerana kesibukan mereka untuk latihan di SIC. Bagaimanapun, dia tetap berasa puas kerana berpeluang melihat dengan dekat kedua-dua pelumba itu.
Kata Sharizan, tugas pengacara bukan saja menyampaikan apa diminta penganjur, tetapi bertanggungjawab dalam menarik perhatian khalayak. Mengenai pembabitan artis sepertinya dalam menjayakan acara seperti F1, dia mengakui kehadiran artis turut memberi impak besar terhadap sambutan penonton.
"Saya berterima kasih kepada Shell kerana memberi peluang menjalankan tanggungjawab ini dan menganggap satu penghargaan apabila menjadi pengacara majlis.
"Sungguhpun artis mempunyai tarikan terhadap penonton, ia tidak boleh bergantung kepada aspek populariti semata-mata. Bagaimanapun, saya percaya artis dapat membawa tarikan dalam pelbagai acara termasuk F1. Jika ada acara lebih besar seperti konsert, ia tentunya tambah meriah," katanya.
Hadir sama pada acara itu, Pengarah Urusan, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Datuk Mohzani Abdul Wahab yang turut memeriahkan acara promosi Model Kereta Ferrari Shell edisi ketiga.
Katanya, acara berkenaan menjadi kebanggaan apabila Raikkonen dan Massa meluangkan masa seketika bertemu peminat sebelum memulakan cabaran di litar.
"Antara Shell dan Ferrari adalah kerjasama yang kuat sejak lebih 60 tahun lalu terutama dalam perlumbaan F1. Tahun lalu, kami meraih trofi F1 Constructor's World Championship ke-16 yang membuktikan kejayaan dan kerjasama teknikal berpanjangan.
"Meraikan kerjasama antara Shell dan Ferrari ini, kami juga berbesar hati melancarkan acara amal yang menyaksikan Raikkonen dan Massa menandatangani autograf pada beberapa koleksi model kereta Ferrari Shell. Barangan eksklusif ini akan dilelong dan wang jualan berkenaan akan disumbangkan kepada dua badan amal," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: