Saturday, April 4, 2009

Ifa penat, Salwa kejar masa


KEHADIRAN artis menjayakan persembahan dan aktiviti di gerai Harian Metro/Metro Ahad (HM/MA) ternyata mencuri tumpuan di Karnival Jomheboh TV3 yang diadakan di Padang MPK2 Kuantan, Pahang minggu lalu.

Pengunjung yang hadir bukan saja dihiburkan dengan nyanyian daripada artis jemputan malah berpeluang mengambil bahagian dalam setiap aktiviti dianjurkan. Selain mendapatkan cenderamata ekslusif di gerai akhbar harian bahasa Melayu nombor satu.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan di gerai HM/MA sepanjang dua hari karnival berlangsung juga tidak pernah menghampakan pengunjung yang membanjiri gerai sejak jam 8.30 pagi. Kemunculan artis undangan seperti Ifa Raziah, Salwa Abdul Rahman, Rafidah Ibrahim (Fida) dan Mohd Ali Ismail (Ali XPDC) ternyata menarik perhatian pengunjung.

Ifa yang menyertai program berkenaan bersama HM/MA buat kali kedua selepas Jomheboh di Melaka bulan lalu, gembira dengan sambutan diterima daripada pengunjung.

"Saya gembira kerana diberi ruang sekali lagi oleh penganjur untuk menghiburkan pengunjung di gerai HM/MA. Memang sambutan di gerai HM/MA di Kuantan cukup hebat. Walaupun penat, saya seronok kerana dapat memeriahkan program ini.

"Hari pertama mengadakan persembahan memang penat. Kebetulan pula pada sebelah petang saya terpaksa bergegas ke sesi latihan Hits 1 sebelum kemuncaknya pada malam itu.

"Peminat sentiasa memberi sokongan amat baik ketika menjayakan persembahan dan aktiviti. Pada saya program seperti ini memberi ruang kepada artis untuk lebih dekat dengan peminat. Ia juga sebagai penghargaan kepada peminat yang sebelum ini jarang bertemu dengan artis," katanya.

Ifa menyampaikan single terbarunya, Panas ciptaan Cat Farish dan lirik Adeep Fabulous Cat serta Ketahuan yang dipopularkan kumpulan dari Indonesia, Matta.

Di samping menyanyi, Ifa turut mengadakan pertandingan menari dan sketsa membabitkan pengunjung. Antara sketsa yang mendapat perhatian pengunjung membabitkan gelagat isteri mengandung ditinggalkan suami kerana mahu ke Jomheboh.

Kata Ifa, akhbar HM/MA sememangnya dikenali dan menjadi pilihan ramai. Justeru, dia tidak menolak menyokong seterusnya menyertai aktiviti yang diadakan pada masa akan datang.



"Dalam memeriahkan program diadakan, penganjur perlu bijak menampilkan artis. Bukan ditujukan kepada saya saja sebaliknya saya mahu berkongsi pandangan ini secara umum.



"Setiap artis yang menjayakan persembahan di setiap gerai Jomheboh kena pandai menarik perhatian dan menghiburkan pengunjung. Tidak kira mana-mana artis sekalipun," katanya.

Salwa pula mengakui terharu dengan sambutan yang diberikan pengunjung. Katanya, pengalaman menyertai gerai HM/MA cukup menyeronokkan buatnya.

"Saya gembira kerana melihat sambutan yang positif daripada pengunjung. Mereka yang hadir bukan saja sama-sama menyanyi, menari dan merakamkan persembahan yang disampaikan artis.

"Walaupun sudah lama tidak muncul menjayakan persembahan, saya dapat lihat maklum balas pengunjung menunjukkan saya masih mempunyai peminat.

"Situasi ini cukup baik untuk proses come back saya. Sebelum ini saya banyak menghabiskan masa menjayakan persembahan majlis korporat tertentu dan diadakan secara tertutup di hotel atau dewan tertentu. Begitupun, selepas menjayakan persembahan secara terbuka ini saya dapat merasai kelainannya.

"Secara tidak langsung, saya dapat mempromosikan lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan. Selain memaklumkan mengenai single terbaru, Kerana Kamu yang dimuatkan dalam album kompilasi Anugerah," katanya yang menyampaikan lagu Jangan Tenung-Tenung dan Samba Riang.

Bagi Fida yang juga baru pertama kali menyertai program itu, turut berkongsi perasaan sama apabila berpeluang menyampaikan lagu di gerai HM/MA. Lebih manis, kehadirannya ibarat sirih pulang ke gagang memandangkan pernah mempunyai pengalaman menuntut ilmu di negeri Pantai Timur itu.

"Tidak dinafikan memang banyak kenangan manis yang dilalui sepanjang menuntut dalam jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Shah Putra, Kuantan sekitar 2004. Tambah seronok apabila dapat turut serta dalam program ini. Sambutan yang diberikan pengunjung juga begitu menggalakkan.

"Malah ada yang terkejut apabila melihat persembahan saya. Masih ramai yang tidak tahu saya boleh menyanyi. Penampilan ini juga mungkin sebagai pengenalan dan pendedahan untuk muncul dengan lagu single tidak lama lagi," katanya.

Juara Pertandingan Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene itu menyanyikan lagu Nilai Cinta dan lagu duet bersama Ali XPDC, Dua Insan pada hari pertama manakala lagu Wajah yang dipopularkan Jaclyn Victor serta Bukan Cinta Biasa (Datuk Siti Nurhaliza).

Sepanjang dua hari berada di gerai berkenaan, Fida yang juga pengacara Riwayat Kamil di Astro merasai bahang sebenar sambutan karnival itu.

Sementara itu, Ali XPDC berterima kasih kepada penganjur kerana memberi peluang kepada artis untuk menjayakan persembahan. Dia yang acap kali menyertai program Jomheboh menyampaikan beberapa lagu seperti Semangat Yang Hilang, Sakina, Hidup Bersama, Apa Nak Di Kata selain Bunga Angkasa.

"Memang masih ramai yang meminati dan mengingati lagu-lagu XPDC. Malah saya kerap kali diajukan mengenai pembentukan semula kumpulan. Walaupun masih bersama Empire, peminat tetap mengenali lagu-lagu daripada XPDC dan Terra Rosa.

"Menerusi persembahan dengan konsep gerai ini, artis dapat lebih dekat dengan peminat. Sebelum ini, peminat hanya dapat melihat persembahan artis di atas pentas sebaliknya pula menerusi program ini," katanya.

Disamping itu pengunjung turut dihiburkan dengan penampilan istimewa naib juara Metro Idol di Bukit Jalil, Disember lalu, Fira dan juara Metro Idol Kuantan, Nurizati (Ezzaty) Mohd Rashid.

Antara aktiviti disediakan di gerai HM/MA ialah kuiz 18 tahun Harian Metro, pertandingan untuk kanak-kanak, Mini Personaliti Harian Metro, jualan akhbar, cenderahati, kuiz dan Metro Idol.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: