Thursday, April 23, 2009

Hormat orang lama


MAJLIS Anugerah Perdana Seniman 2009 yang berlangsung di Sarawak, baru-baru ini meninggalkan seribu pengertian buat Musly Amir Mohammed Ramli atau lebih selesa dikenali sebagai Musly Ramlee.

Baginya, pentas sedemikian bukan sahaja memberi peluang kepadanya untuk bertemu artis veteran, malah ia dianggap sebagai salah satu platform untuk merapatkan silaturahim di antara mereka.

Berpegang kepada yang satu, Musly Ramlee, yang pernah memenangi Juara Bintang P Ramlee anjuran Kerajaan Negeri Sarawak (1996), sentiasa menganggap industri seni tempatan pada hari ini tidak akan meriah tanpa kehadiran orang lama.

Sehubungan itu, pengalaman berbual-bual bersama dengan penyanyi veteran, R Ismail, baru-baru ini, dilihat sebagai satu peluang keemasan baginya untuk mendapatkan tunjuk ajar dan nasihat daripada beliau dalam meniti perjalanan sebagai seorang anak seni.

"Perkara paling asas yang ditekankan beliau untuk menjadi orang seni ialah sentiasa ingat dari mana kita datang.

"Apabila selalu ingat identiti asal, maka kita tidak akan mudah terpesong dek kemasyuran industri hiburan.

"Masalah timbul apabila generasi artis baru hari ini terlampau mengejar dunia glamor yang akhirnya hanyut dan memusnahkan mereka sendiri," beritahu Musly Ramlee mengenai nasihat yang diberikan R Ismail kepadanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Selain itu, penyanyi veteran ini mengingatkan Musly Ramlee agar tidak cepat berasa selesa dengan pencapaian yang dikecapi.

"Katanya, banyak benda yang perlu saya pelajari kerana industri ini besar dan bukan sekadar berpuas hati dengan apa yang ada.

"Belajar daripada orang lama dan sentiasa menghormati mereka. Jadikan nasihat mereka sebagai pegangan dan pedoman dalam meniti arus kehidupan sebagai anak seni," katanya.



Menurutnya, penyanyi veteran ini menyokong penuh usaha yang dilakukan olehnya dalam memperjuangkan lagu-lagu Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.



"Beliau menasihati saya untuk terus berkecimpung dalam memperjuangkan lagu-lagu Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

"Katanya, melalui pendekatan seperti ini membuka mata generasi muda hari ini dan masa akan datang untuk mengetahui dan mengenali Seniman Agung ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: