![]() |
| Izzah Abdul Aziz (berdiri enam dari kanan) dan A.Wahab Hamzah (berdiri lima dari kanan) bergambar dengan peserta-peserta Festival Drama 10 Minit. |
DEWAN Bahasa dan Pustaka (DPB) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Festival Drama 10 Minit mulai 22 hingga 25 April ini dalam usaha menggalakkan industri tersebut di negara kita.
Bertempat di Stor Teater, DPB melalui Bahagian Pengembangan Sastera telah membuka penyertaan festival tersebut kepada semua kumpulan drama dan memberi kebebasan kepada pengkarya untuk membuat konsep persembahan.
Menurut Pengarah Projek, A.Wahab Hamzah, tujuan festival ini diadakan adalah untuk menarik perhatian dan minat karyawan drama muda dan baru terlibat dalam menghasilkan drama pendek yang berkualiti.
"Persembahan yang dihadkan selama 10 minit ini bakal menguji sejauh mana kreativiti peserta.
"Bayangkan dalam 10 minit, peserta perlu menyampaikan mesej dan kandungan persembahan secara mantap, kemas dan lengkap dan inilah yang kami katakan sebagai kualiti,'' katanya lagi.
Sebanyak 16 drama akan dipentaskan yang dianjurkan buat kali pertama. Lebih menarik lagi apabila ada nama-nama besar seperti U-Wei Haji Shaari, Norzizi Zulkifli, Faisal Tehrani dan Dr. Wong Oi Min turut menyertai festival tersebut.
"DPB sangat berbangga kerana walaupun ia (festival) telah menarik ramai nama-nama besar dalam dunia teater, drama dan bidang penulisan,'' tambahnya lagi.
Selain daripada itu, peserta lain yang terlibat ialah Imran, Hasnah Adam, Amar Asyraf Zailuddin, Muhamad Shaqirin, Wan AHmad Ismail, Rahimidin Zahari, A.Wahab Hamzah, Muhammad Khairul Anwar, Syahrul Fitri, Juwairiah Osman dan Ladin Nuawi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Sastera, Izzah Abdul Aziz berkata, semua 16 karya yang akan dipentaskan itu, bakal dibuku dan diterbitkan oleh DBP selepas ini.
Setiap drama berpeluang untuk dipentaskan sebanyak dua kali sepanjang tempoh pementasan tersebut.
Ini membolehkan orang ramai berpeluang untuk menonton kesemua 16 drama tersebut.
Pementasan yang bermula pada pukul 8 malam itu terbuka kepada orang ramai dan masuk adalah percuma.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: