HUJUNG minggu ini, Cik Normah 'memanjat' Genting Highlands kerana umum pasti tahu kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 akan berlangsung di sana. Bukan setakat memanjat, kalau ada peluang Cik Norman nak buat catwalk juga. Buat Kak Pora, jangan makan hati tengok Cik Normah melaram busana rekaan pereka fesyen kegemaran Cik Normah. Insya-Allah, Cik Normah tampil anggun dengan gaun meleret kontemporari, ada sentuhan komersial dan tradisional yakni songket.
Tak sabar nak bertemu dengan rakan yang sudah lama tidak ditemui. Tak sabar juga Cik Normah nak tunggu keputusan siapa yang bakal memenangi untuk 16 kategori yang dipertandingkan. Ketika ini di pejabat Cik Normah mula berteka-teki siapa yang bakal dinobatkan Bintang Paling Popular. Adakah Mawi akan mempertahankan gelarannya atau bakal digantikan oleh orang lain pula? Entahlah, kita tunggu jerlah keputusannya Ahad nanti ye.
Oh ya, kolum ini tetap berjalan biarpun sesibuk mana Cik Normah. Cik Normah sebenarnya teringin nak berkongsi kisah mengenai seorang penyanyi wanita ini. Diakui nada suaranya cukup mantap dan dia pernah mengecapi saat kemuncak, namun dek sikap orang sekeliling yang menjaganya termasuk dirinya yang berangan dan ‘kekwat’ tak tentu hala, populariti indah itu hanya singgah sekejap.
Sekarang ini dengan persaingan yang ramai termasuk kehadiran penyanyi dari program realiti, memang azab untuk dia naik semula. Bukan dia tidak pernah mencuba membina nama kembali. Sebab itulah, dulu dengan wartawan dia buat acuh tak acuh atau macam tidak dipedulikan, tetapi sekarang mula disapa.
Begitulah apabila nama sudah pudar dan kusam. Jadi, sekarang orang media pula macam tak hairan dengan keramahannya. Bukan hendak meragui keikhlasannya tetapi Cik Normah sudah menemui beberapa penyanyi yang lebih baik budi pekertinya. Cuma di hati kecil Cik Normah yang cukup tulus, sayang jika bakatnya terus dilupakan.
Biarpun ada khabar singgah yang dia sudah mula mengurangkan sikap ‘feeling’nya, ada juga yang kata dia masih tak berubah seperti dulu. Tak tahulah Cik Normah nak kata apa, makan pengat sendiri mahu ingatlah. Ada juga kawan Cik Normah memberitahu orang kuat dalam industri seni kita pun sudah tak berani nak ambil dia menyertai syarikat rakaman atau pun membikin album kerana yakin sikapnya yang dulu masih menebal. Ayoo... lihat sampai begitu sekali skeptikal dan prejudis manusia terhadap penyanyi genit ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: