|
 |
| CARISSA Putri, nama yang cukup indah. Seindah wajah dan keperibadian si pemiliknya. Meniti populariti mendadak melalui filem Ayat Ayat Cinta (AAC), kehadiran gadis kelahiran Frankfurt, Jerman pada 12 September 1984 di persada seni Indonesia ini disenangi ramai. |
Tidak hanya bersandarkan bakat luar biasa dalam lakonan, puteri bongsu pasangan Ris Isa Soelaiman dan aktres berpengalaman, Lily SP, menarik perhatian ramai kerana kecantikan dimiliki, selain disifatkan seorang mudah mesra dan merendah diri.
Meskipun namanya disebut bakal menyertai kelompok pelakon kelas 'A', Carissa lebih selesa jika sistem itu tidak diamalkan kerana setiap pelakon mempunyai sumbangan terhadap industri seni.
"Saya cuma pelakon baru yang masih perlu banyak belajar. Usah terlalu cepat menilai kerana di luar sana ramai sekali pelakon yang hebat, namun tidak pernah diberi perhatian," katanya.
Kesederhanaan gadis yang mendokong watak Maria melalui filem AAC arahan Hanung Bramantyo yang diangkat daripada novel tulisan Habiburrahman El Shirazy itu cukup terserlah, bukan saja dirinya sebagai selebriti malah dalam menjalani kehidupan sebenar.
Carissa, 24, yang kini popular menerusi drama Aqso Dan Madina di TV9 berkata, dalam soal pemakaian dan menjaga penampilan diri, dia tidak memilih jenama. Apa yang penting baginya adalah keselesaan.
Cuma, dalam acara tertentu misalnya diundang ke acara pertunjukan fesyen anjuran jenama terkenal seperti Gucci, dia akan menggayakan gaun daripada jenama berkenaan sebagai tanda sokongan.
"Bagi saya, kalau mahu berpakaian mahal biar sesuai dengan majlisnya. Kalau ada acara penganugerahan atau keramaian yang membabitkan ramai golongan atasan, mengapa tidak belanjakan sedikit wang untuk kelihatan cantik dan menarik?
"Pun begitu, dalam dunia seharian saya sebenarnya seorang gadis ringkas yang gemar mengenakan kemeja-T, bersama jeans dan sandal.
"Koleksi pakaian yang ada tidak semestinya mahal. Paling mustahak selesa dipakai. Tiada gunanya kalau harganya mahal, tetapi tidak selesa. Percaya atau tidak, ada antara pakaian saya yang harganya bawah Rp100,000 (RM35)," katanya.
Seorang yang berfikiran terbuka, Carissa tidak pernah berselindung berbicara mengenai teman lelakinya kepada peminat. Malah, dia tidak pernah malu menyatakan jejaka yang dicintainya itu hanyalah pemuda biasa.
Bagaimanapun, bagi menyimpan sedikit sebagai rahsia peribadi, Carissa enggan mendedahkan nama jejaka berkenaan.
"Kebetulan saya baru kenal dia. Jadi, saat ini saya masih dalam proses mengenali hati budinya dengan lebih mendalam. Yang pasti, dia bukan daripada kalangan artis mahupun selebriti popular. Dia hanya pemuda biasa dalam kalangan orang kebanyakan.
"Teman lelaki saya itu haruslah memahami karier, menjadi penyokong serta menghormati saya sebagai wanita termasuk orang tua saya. Teman lelaki saya itu ini memiliki semua ciri-ciri yang saya harapkan.
"Dia mengerti dengan kegiatan seni saya. Orangnya baik, punya budi pekerti dan kebetulan sama-sama orang Islam," akuinya.
Tidak menafikan hubungan mereka mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak, namun untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini dia sendiri belum bersedia.
"Terlalu awal membuat keputusan itu. Saya masih belum puas berlakon dan masih banyak tanggungjawab harus diselesaikan," katanya.
Mengenai kerjaya lakonannya, Carissa baru saja selesai menjalani penggambaran drama terbitan produksi SinemArt Pictures, Rafika yang menjalani penggambaran sekitar daerah Pondok Kelapa, Jakarta Timur, Januari lalu.
Mendokong watak utama sebagai Rafika, drama arahan April Marsha ini mengisahkan gadis cantik yang terjebak antara cinta sejati serta dibelenggu kemiskinan.
"Ini satu peranan yang sangat berat. Saya seperti gadis yang dijual orang tuanya kerana hutang keliling pinggang.
"Saya dipaksa menikahi seorang lelaki yang tidak pernah saya kenal atau cinta sebelum ini padahal saya sudah punya kekasih," katanya.
Carissa berkata, Rafika bertugas selaku karyawan sebuah perusahaan yang diminta untuk mengubati luka dan keceriaan seorang jejaka bernama Ruby (Wingky Wiryawan), selepas ditinggalkan calon isterinya.
Ruby anak Pak Abadi (Drg Fadly) yang juga pengarah urusan tempat Rafika bekerja. Permintaan Pak Abadi bukan perkara mudah bagi Rafika, apatah lagi dia amat mencintai Elang. Pemuda itu ingkar janji, lalu Rafika perlu membuat keputusan sama ada menerima cinta Ruby demi melangsaikan segala beban hutang ibunya terhadap Pak Abadi atau mengharapkan cinta sejatinya kembali.
Desas-desus turut mengatakan, drama itu membuatkan hubungan antara Carissa dan Wingky bertambah intim sehingga membibitkan perasaan cinta. Ia dikatakan punca Wingky tidak lagi sebumbung dengan isterinya, Kenes.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, Wingky menyangkal dakwaan itu. Katanya, dia kenal rapat dengan teman lelaki Carissa yang juga bekas teman lelaki adik iparnya.
Sementara itu, Carissa memaklumkan, Rafika adalah drama kedua dijayakan bersama. Sebelum ini mereka pernah bergandingan dalam drama Aqso dan Madina, juga produksi SinemArt.
"Daripada pengalaman sebelumnya, kami berdua sama sekali tidak mengalami kesulitan untuk bekerjasama dalam drama ini," katanya.
Carissa mula menceburi dunia lakonan melalui penampilan pertamanya dalam sinetron Siti Nurbaya pada 2006 dan drama dijayakan Nia Ramadhani sebagai Siti Nurbaya serta pernah disiarkan di TV3 tidak lama dulu. Sinetron lain, Anggun, Jangan Pisahkan Aku dan Hikmah 3.
Nama Carissa mula melonjak melalui AAC hingga sukar untuknya membuang imej Maria sehinggalah Carissa menerima tawaran berlakon filem komedi, The Tarix Jabrix.
>Profil
Nama sebenar: Carissa Putri Sulaiman
Tarikh lahir 12 September 1984
Tempat lahir: Frankfurt, Jerman
Nama Bapa: Ris Isa Soelaiman
Nama Ibu: Lily SP
Agama: Islam
Kerjaya: Model, Pelakon
Filem: Ayat-Ayat Cinta (2008), The Tarix Jabrix (2008)
Sinetron: Aqso Dan Madina (2008), Rafika (2008), Hikmah 3 (2007), I Love U Bos (2007), Jangan Pisahkan Aku (2007), 1 Bunga 4 Kumbang (2006), Anggun (2006), Siti Nurbaya (2006)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: