Saturday, April 4, 2009

Bukan sekadar berlakon


PENAMPILAN sebagai Cindy Campbell, wanita seksi menerusi filem Scary Movie pada 2000 hingga tiga sekuel filem yang sama selepas itu meninggalkan ingatan kepada penonton mengenai kemunculan aktres Anna Faris. Nyata, susuk tubuh yang dimiliki aktres berusia 32 tahun ini membuatkan dia sering menerima tawaran watak sama.

Dalam filem terbaru lakonannya, Observe And Report, dia diberi watak Brandi,jurujual wanita yang mengalami trauma akibat kehadiran seorang lelaki yang gemar menunjukkan aksi lucah padanya. Dalam mengatasi masalah itu, dia berkenalan dengan ketua keselamatan di tempat kerjanya, Ronnie Barnhardt (lakonan Seth Rogan) yang menunjukkan simpati kepadanya hingga mereka jatuh cinta.

Di sebalik lakonan Anna menerusi filem arahan Jody Hill ini, dia dikatakan memberi lakonan berbeza walaupun masih terikat dengan genre komedi yang sering dijayakan dalam filem lain sebelum ini. Untuk filem aksi komedi kali ini, ia turut dijayakan Michael Pena, Dan Bakkedahl dan Jesse Plemons.

“Sebenarnya peluang mendapat apa saja tawaran untuk berlakon filem adalah kejayaan buat saya. Saya tidak suka apabila seseorang pelakon itu berpura-pura menunjukkan minat pada watak kerana dia mahu berlakon. Pada saya, bukan mudah untuk pelakon mendapat tawaran dibandingkan dengan pelakon yang mempunyai nama besar.

“Saya menganggap ia penghargaan buat saya apabila diberi tawaran terutama terbabit dengan filem komedi. Untuk lakonan filem baru saya kali ini, ia adalah tawaran yang hebat untuk saya bekerjasama dengan Rogan.

“Saya juga peminat setia filem arahan Hill terdahulu seperti The Foot Fist Way dan pengalaman membintangi filem ini pula memberikan penghayatan yang berbeza dengan karakter wanita yang keras hati dan ada ketika tidak disukai orang lain.

“Watak Brandi menampakkan dia seorang yang sofistikated kerana itu sering memakai pakaian hitam. Ada jurang antara dia dengan pekerja lain dengan penampilan rambut panjang bertocang dan memakai kuku palsu. Saya tidak sedar penampilan sebegini memberi tarikan dan kekuatan pada watak saya ini hingga menonton filem lakonan sendiri selepas ia siap,” katanya.

Kata Anna, penampilan diri pada watak adalah penting untuk memberikan lakonan yang lebih baik. Mengenai penampilan di luar lokasi penggambaran, dia menganggap dia sama seperti wanita lain yang mementingkan aspek penjagaan diri dan kecantikan.

“Pada mula, Hill tidak menyukai beberapa idea saya untuk penampilan watak saya bawa, tetapi dia turut memberi idea daripada pengalaman bersama kekasihnya yang lalu.

“Untuk menghayati watak saya dengan mendalam, saya tidak buat kajian khusus untuk melihat gelagat mereka di pusat beli-belah kerana saya sendiri boleh bayangkan bagaimana cara jurujual wanita berkerja.



“Saya mendapat tawaran berlakon filem ini seminggu sebelum penggambaran bermula dan masa yang ada tidak cukup untuk saya membuat kajian sebegitu. Saya berasakan makin lama berada dalam bidang hiburan ini, lebih banyak yang saya belajar mengenai pembikinan sesebuah filem.



“Peluang berlakon dan terbabit dengan promosi filem baru adalah suatu yang besar buat saya. Saya pernah berkata kepada Rogen, saya kini bukan hanya berlakon filem, tetapi belajar bagaimana proses filem itu dibuat. Jika diikutkan, aspek penerbitan filem dari skrip hingga tayangan memerlukan masa tiga tahun untuk proses secara keseluruhan.

“Buat masa ini, saya masih seronok untuk berlakon filem genre komedi. Jika mahu membawa watak yang lebih khusus, seseorang pelakon itu perlu mengambil inisiatif seperti bekerjasama dengan penulis skrip dan cipta watak bersama. Apapun, ia adalah cabaran dalam setiap filem yang ingin dilakonkan.

“Tidak semestinya berlakon filem komedi memerlukan pendekatan komedi yang berbeza. Apa yang saya belajar ketika berlakon Scary Movie dulu, kami tidak banyak buat pembaharuan pada aspek komedi pada mula hingga berlakon sekuel ketiga dan keempat, baru watak kami menjadi lebih teliti.

“Untuk filem Observe And Report pula, saya bersama Rogen mahu memainkan watak dengan teliti. Sebagai pelakon, saya menjiwai watak bila saya cinta pada watak itu sendiri. Antara saya dan Rogen, kami gembira dengan pengalaman yang ditimba sepanjang penggambaran filem ini,” katanya.

Bagi setiap lakonan dalam filem berbeza, Anna menyatakan dia berprinsip mahu mencuba apa jua cabaran yang diberikan padanya. Tahun ini, dia turut muncul dengan dua filem baru lain iaitu Young Americans dan Cloudy With A Chance Of Meatballs.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: