Rozita Che Wan, Ayu Raudhah diberi penghormatan sebagai penyampai di ABPBH2008
BUKAN sekali dua namanya dikaitkan dengan lelaki. Rasanya si empunya diri ini juga sudah bosan kerana setiap kali bertemu media, pasti soalan mengenai lelaki yang sering diajukan kepadanya. Walaupun jenuh Rozita Che Wan membuat penafian, namun cerita itu bagai tiada kesudahannya.
Sewaktu sesi fotografi bersama Hip baru-baru ini yang dilakukan di butik milik pereka fesyen Calvin Thoo di Lot 10, Bukit Bintang, soalan mengenai lelaki langsung tidak.
Hadir bersama adiknya, Ayu Raudhah, Rozita atau lebih akrab di sapa Ita lebih selesa apabila ceritanya mengenai lelaki tidak diperbesarkan. Tegasnya, dia kini masih solo dan andai benar akan menamatkan zaman jandanya, perkara baik itu tidak akan disorokkan.
Kehadiran Rozita dan Ayu petang itu adalah untuk melihat sendiri bagaimanakah bentuk rekaan busana yang akan mereka gayakan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di di Arena Of Stars, Genting Highlands, hujung minggu ini.
Jika tahun lalu, Rozita hadir di ABPBH sebagai calon tetapi kali ini, dia hadir bersama adiknya itu sebagai penyampai anugerah dan bagi tugasan itu, mereka diberi penghormatan untuk menggayakan busana berasaskan tenunan songket rekaan Calvin.
Jelas Rozita, walaupun tidak tercalon kali ini namun dia tetap gembira untuk hadir di majlis yang mengumpulkan ramai selebriti itu.
“Tak tahulah kenapa nama saya boleh tercicir kali ini. Mungkin saya tak banyak berlakon drama bersiri tahun ini dan banyak muncul dalam telefilem maka peminat pun tak perasan,” kata Rozita yang tidak kecewa apabila gagal tersenarai sebagai finalis tahun ini.
Mengulas rekaan Calvin, pelakon ini mengakui dia memang selesa dengan hasil kerja pereka kreatif itu.
“Calvin tahu ukuran badan saya. Setiap kali menyarungkan pakaian rekaannya, memang terletak dan tak perlu nak ubah sana sini. Macam saya sendiri, suka baju yang bentuk ikut badan dan Calvin memang pakar dalam hal ini,” cerita Rozita yang menggemari warna-warna terang dan polos apabila memilih pakaian untuk digayakan.
Tak mahu jodoh dengan artis
JIKA si kakak kerap dikaitkan dengan lelaki berpangkat dan bergelar, lain pula dengan si adik. Sejak menceburkan diri dalam bidang seni, jarang sekali kedengaran Ayu Raudhah atau Ayu digosipkan dengan ramai lelaki.
Cuma yang kedengaran adalah hubungannya dengan pelakon Pekin yang khabarnya kini sudah tinggal sejarah.
“Memang kami pernah bercinta sebelum ini tetapi sudah tiada jodoh, nak buat macam mana,” kata Ayu.
Namun begitu, kata Ayu, Pekin lelaki yang baik dan disebabkan itulah dia tidak ada masalah untuk terus berkawan dengan lelaki itu.
Ditanya apakah artis masih lagi menjadi pilihan, pantas Ayu menggelengkan kepala.
“Lagipun mak Ayu sendiri tak berapa setuju jika suami Ayu di kalangan artis,” jelas gadis berusia 24 tahun ini.
Sejak menceburkan diri dalam bidang lakonan, ini adalah kali pertama Ayu muncul dalam ABPBH. Bukan bersikap sombong atau tidak mahu bergaul dengan artis lain cuma Ayu lebih senang menontonnya di rumah jika tidak ditugaskan apa-apa pada acara tahunan itu.
“Tahun ini saya ada tugas yang perlu dilakukan di sana. Kali ini, saya dan kakak menjadi penyampai. Rasa berdebar juga kerana pastinya pada masa itu seluruh perhatian akan tertumpu pada saya dan kakak kerana kami akan mengumumkan keputusan yang amat penting bagi finalis,” kata Ayu yang juga mengagumi rekaan Calvin Thoo yang disifatkannya sebagai elegan dan bercita rasa tinggi.
Calvin guna khidmat penata gaya khas
BERTUAH sungguh nampaknya Rozita dan Ayu apabila busana yang akan mereka gayakan pada malam kemuncak ABPBH 2008 adalah ciptaan eksklusif Calvin untuk mereka. Menjelaskan perkara itu menurut Calvin kesibukannya memenuhi tempahan membuatkan dia hanya mampu menyiapkan pakaian untuk dua artis itu saja.
“Hanya dua artis saja yang akan menggayakan rekaan terbaru saya. Rozita antara artis yang setia dengan saya dan tak pernah cerewet. Untuk Rozita, busananya nanti akan mengikut karakter yang pernah dibawakan di dalam lakonan, sedikit classy dan ada sentuhan old Hollywood. Sangat dramatik manakala adiknya pula lebih kepada imej remaja.
“Saya akan mendapatkan bantuan khidmat penata gaya berpengalaman dari Indonesia iaitu Cicko Bachtiar. Pendek kata dari hujung rambut hingga hujung kaki, penampilan Rozita dan Ayu akan mendapat khidmat Cicko,” jelas Calvin mengulas tugasannya untuk mencantikkan dua beradik sensasi dan jelita ini.
Bersesuaian dengan konsep tenunan yang menjadi tema tahun ini, Calvin berkata untuk mereka, tenunan songket akan menjadi pilihan.
“Rozita suka dengan warna terang dan potongan mengikut bentuk badan, jadi, saya memilih songket berwarna biru atau ungu. Manakala bahannya pula daripada kain dutchess satin. Ayu pula akan mengenakan songket bersama fabrik sutera.
“Yang penting pakaiannya nanti tidak keterlaluan serta bersesuaian dengan imej remajanya,” kata Calvin yang mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan rekaannya itu.
INFO:
- Nama: Raudah Che Wan
- Nama Komersial: Ayu Raudah
- Usia: 24 tahun
- Tarikh Lahir: 7 Disember 1984
- Tempat Lahir: Alor Star, Kedah
- Tinggi: 158 cm
- Berat: 49 kilogram
- Status: Solo
- Kerjaya: Pelakon
- Drama: Dilema Wanita, Timur Mencinta Barat Merindu, Manjalara
- Nama: Rozita Che Wan
- Usia: 35 tahun
- Filem: Dunia Baru The Movie, Sepi, Jangan Tegur, Kantoi dan Sifu & Tongga
- Drama: Susuk, Ai Di Beijing, Diari Ramadan Raffique, Ayyad, Baraku Genggam, Sebelum Sejadah Terbentang dan Dewi Di Sebalik Cermin
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: