| DALAM menjayakan rakaman rancangan ini, produksi menggunakan tiga kamera, dan menarik perhatian salah seorang pengendalinya adalah tenaga kerja wanita, Mazyati (Mazyati) Abdul Malek. |
Mendekatinya sebelum melaksanakan tugas ternyata Mazyati agak peramah dan mudah memberikan kerjasama. Rahsia kerjanya adalah sentiasa menghormati mereka yang lebih berpengalaman terutama Ketua Jabatannya, Ahmad Najib Salleh.
“Saya sebenarnya belajar dalam bidang kejuruteraan elektrik, dan apabila memohon bertugas di RTM ini saya diletakkan dalam Jabatan Teknik. Selain saya ada empat lagi tenaga kerja wanita. Dalam bidang tugas kami turut harus pandai mengendalikan kamera.
“Pada peringkat awal memang saya berasa kekok kerana ia tidak ada kena-mengena dengan bidang yang saya pelajari sebelum ini. Bagaimanapun berkat tunjuk ajar teman sekerja yang lain. Akhirnya saya dapat melakukannya,” katanya.
Bercerita mengenai pengalamannya bertugas mengendalikan kamera untuk rancangan Sehati Sejiwa jelas Mazyati ia tidak susah seperti apa yang difikirkan ramai pihak.
“Kerja dalam studio seperti Sehati Sejiwa ini lebih terancang dan selalunya penerbit sudah memberitahu lebih awal akan sudut rakaman mahu dilakukan.
“Cabaran lebih besar sekiranya penggambaran dilakukan di luar dan kami dikehendaki mengendalikan kamera genggam bebas. Selalunya rancangan seperti dokumentari mahupun drama banyak menggunakan khidmat kamera seperti itu.
“Setakat ini saya jarang diberikan tugasan sedemikian rupa. Mungkin pihak penerbitan sendiri melihat akan kesesuaian dengan saya. Maklumlah wanita tidak lasak seperti lelaki apatah lagi kamera itu berat untuk dikendalikan.
“Begitupun saya pernah juga sesekali mengikuti penggambaran di luar sebagai pembantu jurukamera. Walaupun hanya bertindak sebagai pembantu tetap pada saya ia penting kerana dapat mengutip pengalaman,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: