Thursday, April 23, 2009

Borak Lokasi: Imej sejajar peribadi peserta


SEBAGAI orang yang bertanggungjawab terhadap penampilan peserta setiap minggu, Peter Lum yang sebelum ini turut menata rias bintang Malaysian Idol, tidak berhadapan banyak masalah.

Katanya, perkara itu berlaku kerana pihak produksi sendiri mahukan penampilan sederhana tetapi menarik buat peserta bertanding dalam OIAM3. Lebih penting dia harus pandai menampilkan imej sesuai berdasarkan keperibadian peserta itu sendiri.

"Malah kalau kita lihat setiap daripada peserta ini sangat berbeza. Mengambil contoh Tomok, dia walaupun agak rock tetapi imejnya seperti lelaki yang mudah didekati. Sementara Esther pula kita lihat gayanya seperti 'diva' apabila di atas pentas. Simon agak selamba dan Anith seperti anak remaja.

"Apabila mereka mempunyai gaya sendiri jadi mudah untuk saya untuk menjaga penampilan mereka setiap minggu," katanya.

Menjelaskan mengenai kemungkinan ada peserta bersikap mengada-ngada dan memberikan masalah, katanya setakat ini perkara itu belum pernah lagi berlaku.

"Pada saya apa yang penting adalah peserta berasa selesa apabila berada di atas pentas, kerana yang hendak membuat persembahan adalah mereka dan bukannya saya.

"Apabila saya memberikan mereka baju biasanya saya akan katakan kepada mereka agar memberitahu saya sekiranya peserta berasakan baju dipakai kurang selesa.

"Peserta ini pula tidak pula mendengus atau bising-bising apabila baju diberikan dirasakan tidak sesuai dan mereka akan menegur saya dengan cara baik. Selalunya saya faham akan perkara yang mereka adukan kepada saya," katanya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: