| DALAM usaha meningkatkan mutu persembahan, operasi stesen muzik berbahasa Inggeris Astro, hitz TV diubah pengisiannya supaya menepati selera penonton sasaran. |
Menariknya, hitz TV turut ditukar namanya kepada Astro Hitz dan bekerjasama dengan stesen radio Inggeris popular, hitz.fm.
Sempena perubahan itu, diadakan majlis pelancaran penjenamaan semula Astro Hitz dilakukan di Zouk, Jalan Ampang,Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada majlis itu, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bd, Zainir Aminullah menjelaskan dengan penjenamaan semula pihaknya mengharapkan saluran muzik berbahasa Inggeris itu akan lebih fokus dalam menarik perhatian penonton sasaran, iaitu remaja dan mereka yang berusia tidak lebih 35 tahun.
Pada temu bual yang diatur selepas itu jelas Zainir, pihaknya cuba menjadikan stesen radio dan televisyen hitz sebagai satu produk, tetapi dalam dua saluran.
"Apabila perubahan ini dilakukan banyak perkara baik akan diperoleh penonton. Pertamanya, kali ini mereka akan menerima hanya klip video daripada artis popular dan terkini.
"Beberapa rancangan baru diwujudkan dan lagu dimainkan lebih tersusun mengikut jalur lagu.
"Penonton akan lebih puas menonton selepas ini kerana panel yang menutupi sebahagian ruang televisyen bagi membolehkan penonton berinteraksi menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) sudah ditiadakan," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai ketiadaan panel untuk penonton bersembang menerusi SMS, kata Zainir perkara itu tidak lagi relevan.
"Sekarang ini kebanyakan isi kandungan SMS yang dihantar bukan membicarakan mengenai muzik sebaliknya hal peribadi. Walaupun ada berpendapat ia boleh menjadi punca kepada sumber pendapatan saluran atau stesen, tetapi sumbangannya tidak begitu besar.
| |
"Dalam menyusun semula operasi dan penjenamaan semula Astro Hitz, kita sedar kebanyakan penonton mahupun pendengar radio Hitz FM mahu berinteraksi secara langsung dengan penyampai.
| |
"Begitu juga dengan pengiklan, mereka akan bertanya apa yang akan kami lakukan untuk mendekati pendengar dan penonton setia. Disebabkan itu selepas ini kita akan mengadakan lebih banyak aktiviti seperti karnival Astro Hitz bagi memberi peluang kepada penonton mahupun pendengar mendekati kami," katanya.
Penjenamaan semula ini turut memberi ruang kepada artis tempatan yang menghasilkan album Inggeris untuk mengetengahkan karya dan klip video dihasilkan apabila satu segmen untuk mereka iaitu Homeboyz dan Asian Potion turut diwujudkan.
Sementara itu dengan penjenamaan semula ini, televisyen dan radio Hitz akan bekerja sama dalam menerbitkan beberapa program menarik.
Menurut Pengurus Saluran Astro hitz, Mackenna Singh (Mack) beberapa penyampai radio hitz.fm sendiri akan tampil sebagai pengacara dan mereka turut merancang merakamkan segmen Morning Crew dan disiarkan di saluran muzik Inggeris tempatan itu.
"Sebelum ini ada beberapa rancangan dikendalikan penyampai radio hitz.fm menjadi cukup popular seperti Gotcha Call, apabila mereka cuba mengusik pendengar dengan gimik dan Call Us If Your Are.
"Penjenamaan dua stesen dengan satu nama ini membolehkan kami membawa program radio ke televisyen. Selalunya dalam radio kita hanya mendengar, tetapi apabila ia ditukar dalam bentuk visual pasti rancangan itu menjadi lebih menarik.
"Pada waktu sama banyak lagi rancangan yang sedang kami rangka bagi memantapkan lagi persembahan Astro hitz seperti pencarian penyampai baru. Dan ia akan dilaksanakan dalam waktu terdekat ini," katanya.
Sementara itu Pengurus Saluran hitz.fm, Mohamed Raqem Brian Abdullah berkata penyampainya tidak menghadapi masalah untuk mengendalikan Astro hitz dalam satu masa kerana bidang tugas berbeza dan tidak melanggar waktu kerja.
"Saya berasakan ini satu pendedahan yang baik untuk penyampai hitz.fm sendiri. Selalunya mereka hanya akan bertugas di konti selama empat jam dan dua jam sebelum atau selepas mereka akan melakukan kerja pengurusan. Selebih mereka punya banyak masa terluang.
"Pada saya apabila mereka menjayakan Astro hitz ia dapat memberikan pendedahan baru dan mendekatkan lagi pendengar dengan peminat mereka," katanya.
Di majlis diadakan, pihak Astro turut memperkenalkan penjenamaan baru ini kepada bakal pelanggan iklan dan rakan niaga. Memeriahkan lagi acara persembahan daripada artis tempatan seperti kumpulan Estranged, Camelia dan Caprice.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: