Friday, April 3, 2009

Anak kedua kongsi minat


MEMULAKAN karier seni sebagai penyanyi sejak 1993 apabila menyertai pertandingan Asia Bagus, Sharizan Borhan tetap berbangga kerana berjaya melangkah ke peringkat akhir.

Sungguhpun tewas pada pertandingan itu, usahanya untuk menggilap bakat tidak terhenti di situ saja. Selepas hadir dengan album debut, Hadir, bakatnya diiktiraf menerusi anugerah Artis Baru Lelaki Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 1997.

Pada permulaan karier seninya, dia dianggap antara penyanyi baru yang mempunyai masa depan cerah untuk berjaya. Enam tahun lalu, dia pernah menghasilkan album kedua, Saat Ini yang bermatlamat mengutip sumbangan untuk badan amal. Selepas itu, dia masih aktif menyanyi hingga muncul album ketiga, Timeless yang berada di pasaran tiga tahun lalu.

Biarpun hadir dengan tiga album sebelum ini, kehadiran Sharizan dikatakan menyepi sejak kebelakangan ini. Dalam pertemuan Rap bersamanya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, dia mengakui masih aktif menyanyi.

Katanya, dia banyak mendapat tawaran menyanyi untuk persembahan korporat selain terbabit sebagai penyumbang suara untuk iklan di TV dan radio.

"Buat masa ini, saya masih berhasrat untuk menghasilkan album baru. Bagaimanapun, saya sedih apabila memikirkan persatuan artis yang ada tidak bersatu kerana mungkin mereka mempunyai kepentingan masing-masing untuk dijaga.

"Jika diimbas kembali 20 tahun lalu, persada muzik tanah air kita maju. Berbanding masa kini, artis kita berhadapan dengan masalah bila album sukar dijual. Apa yang boleh kita belajar, pasaran muzik di luar negara seperti Indonesia masih bertahan kerana persatuan artis mereka kuat.

"Akibat jualan album secara fizikal kurang sambutan, kini ramai artis kita yang beralih pada album format digital. Saya berpandangan album digital mempunyai kelebihan, apatah lagi pembikinan album lebih mudah jika menggunakan label indie atau bebas.

"Mungkin saya juga ingin hasilkan album baru sendiri tetapi dalam diri ada perasaan takut jika album itu nanti tidak mendapat sambutan. Cita rasa muzik saya masih pada jazz dan swing. Berbanding gerne muzik lain seperti pop, konsep muzik yang saya bawa kurang mendapat publisiti.

"Namun, saya tidak bimbang kerana saya percaya muzik sebegini mempunyai kelompok peminat sendiri. Walaupun kurang publisiti, mereka tetap menantikan lagu dan album baru muncul di pasaran," katanya.



Bapa kepada tiga anak ini iaitu Kayra Adriana, 11, Kayden Lee, 6, dan Kaylin Adriana, 4, menyatakan dia masih memberi fokus sepenuh masa pada bidang nyanyian.



Katanya, dia mahu menjadi penghibur yang bukan hanya bergantung pada nyanyian sebagai sumber pendapatan semata-mata tetapi berusaha mengembangkan bakat seni yang ada dalam diri.

Justeru, dia kerap meraih peluang menyumbang suara untuk iklan di TV dan radio serta memenuhi jemputan menjadi pengacara majlis. Dia juga muncul dengan drama terbaru, Kasut Tumit Tinggi yang ditayangkan di Astro Prima ketika ini.

Dalam pada itu, Sharizan menyatakan dia kini berbangga kerana mendapat peluang untuk terbabit dengan promosi Model Kereta Ferrari Bersama Shell.

Katanya, ia umpama peluang keemasan apabila diberi kepercayaan untuk menjayakan aktiviti berkenaan, sekali gus bertanggungjawab dalam menceritakan pengalaman sebagai peminat dan pengumpul koleksi model kereta istimewa itu.

"Sejak kecil, saya meminati model kereta hingga anak kedua saya, Kayden juga berkongsi minat yang sama. Saya berasa bertuah kerana Shell memberi kepercayaan pada saya untuk menjalankan tanggungjawab ini. Walaupun saya hanya peminat kereta Ferrari termasuk model kereta dan pengguna Shell yang setia, saya lakukan kerja ini kerana minat yang mendalam.

"Tahun lalu, ketika saya terbabit sebagai pengacara untuk satu acara sesi bertemu pelumba Formula 1, Shell memberi saya kesempatan bertemu pelumba pasukan Ferrari iaitu Felipe Massa dan Kimi Raikkonen. Sebenarnya, minat mengumpul koleksi model kereta Shell ini bermula sejak model kereta Ferrari edisi pertama dikeluarkan Shell tiga tahun lalu.

"Sejak itu, saya minat mengumpul koleksi model kereta seterusnya termasuk edisi kedua berada di pasaran pada tahun lalu dan terbaru, lima kereta edisi istimewa Shell dan Ferrari mula dilancarkan Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Datuk Mohzani Abdul Wahab di pusat beli-belah One Utama pada awal bulan ini.

"Pada hujung minggu ini, pelancaran model kereta ini juga akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah. Pada saya, membeli koleksi model kereta ini berbaloi kerana rekaannya menyamai kereta Ferrari sebenar dan ia bukan hanya diminati kanak-kanak tetapi golongan dewasa juga yang mempunyai minat sama harus memiliki koleksi istimewa ini," katanya.

Kata Sharizan, Shell memperkenalkan lima model kereta Ferrari terbaru iaitu jenis 430 Scuderia, FXX Evoluzione, 599 GTB Fiorano, 612 Scaglietti dan 360 GTC.

Menariknya, model baru ini mempunyai fungsi Touch Steering yang membolehkan ia bergerak ke depan, kiri dan kanan mengikut kawalan dengan 15 arah berbeza.

Setiap model kereta Ferrari Shell ini boleh dibeli pada harga istimewa RM6.90 jika pembeli menggunakan petrol Shell V-Power Racing manakala harga RM8.90 diberikan untuk pembelian petrol Shell Super, Shell Regular atau Shell Diesel. Pembelian minimum petrol ialah RM40.

Pembeli juga boleh mendapatkan litar permainan model kereta berkenaan pada harga RM15 dan lima model baru kereta Ferrari Shell ini juga dijual secara set bersama model garaj iaitu RM60.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: