Saturday, April 4, 2009

Amy utamakan anak


SESIBUK manapun dengan aktiviti seni, penyanyi, pelakon dan pengacara Amy Mastura tetap mengutamakan keluarga melebihi segalanya. Malah, kata isteri Alvin Tham Sufian dan ibu kepada dua anak ini, dia tidak menyerahkan tugas menjaga anak seratus peratus kepada pembantu rumah.

Kata Amy, dua anaknya, Adriana, 8, dan adiknya, Adalia, 4 masih kecil dan sebagai ibu, dia perlu memastikan perkembangan anaknya di rumah dan sekolah sepanjang masa.

"Saya jugalah yang mengambil dan menghantar mereka dari sekolah setiap hari. Sibuk manapun saya di lokasi penggambaran program atau drama, saya tetap menjenguk mereka di rumah setiap hari bagi memastikan hubungan saya dan anak-anak erat selepas seharian mereka bersama pembantu rumah," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama bersiri Comel untuk TV3 di Sri Pentas, baru-baru ini.

Ibu muda ini tetap bersyukur kerana rezekinya dalam bidang seni tidak pernah putus sampai sekarang.

"Saya rebut apa saja peluang yang datang depan mata. Malah sepanjang tahun lalu, saya banyak menerima tawaran berlakon.

"Antaranya drama bersiri Kasut Tumit Tinggi dan Lima Jingga yang di siarkan di Astro. Sebenarnya, penggambaran drama itu dibuat tahun lalu tetapi baru disiarkan sekarang.

"Kasut Tumit Tinggi mula disiarkan di Astro Prima (saluran 105) sejak 22 Januari lalu. Drama 13 episod bergenre komedi romantik itu diarahkan Low Ngai Yuen.

"Ia juga menggandingkan saya dengan Norish Karman dan Nanu Baharudin termasuk bakat baru, Juliana Evans. Selain itu, filem Hopperz terbitan Grand Briliance Sdn Bhd.

"Dalam drama Comel pula, saya bawa watak ibu kepada watak utama Comel (lakonan pelakon baru Nor Hanis). Wataknya tidak susah kerana saya juga wanita berstatus ibu. Dalam cerita ini saya ibu yang mencintai alam sekitar.

"Selain lakonan, saya juga berpeluang mengembangkan bakat sebagai pengacara dalam program Apa-Apa Aje yang bersama Shamsul Ghau Ghau yang bersiaran di TV3, sejak awal tahun," katanya.



Mengenai perancangan membesarkan lagi keluarga sedia ada, Amy, 38, atau nama sebenarnya, Amy Mastura Suhaimi berkata, buat masa ini, dia dan suami tidak bercadang untuk menambah bilangan anak.



Katanya, cukuplah dengan kehadiran dua cahaya mata comel yang mengikat kasih sayang mereka dan menceriakan mereka sekeluarga.

Dalam kerjaya, Amy juga sudah bersedia dari aspek mental dan fizikal jika diri sudah tidak diterima lagi satu hari nanti.

"Maklumlah, hidup kita bagaikan roda. Mungkin hari ini kita diatas, esok atau lusa mungkin kita dibawah pula," katanya.

Lebih bermakna, Amy juga tampil dengan bingkisan album terbarunya bagi mengubat kerinduan peminat tahun ini.

"Dalam krisis ekonomi global sekarang, saya bersyukur kepada Tuhan kerana masih berpelung muncul dengan album baru. Album saya yang juga album ketujuh ini berjudul Happy di bawah terbitan Sony BMG Music.

"Saya gembira kerana dapat bekerjasama dengan kawan-kawan lama dalam album ini seperti komposer Panji, Lah VE dan Goh Boon Hoe. Album yang mengandungi sepuluh lagu ini juga menampilkan sentuhan komposer Indonesia, Putra Andre dan Shrek serta masih mengekalkan identiti saya yang dulu.

"Apa yang menarik, dalam lagu Fiesta ciptaan Lah (VE), saya tampilkan kanak-kanak bermain instrumen dari bahan kitar semula iaitu Yawa.

"Lima lagi lagu yang dimuatkan adalah hasil ciptaan sendiri iaitu Langkah Hatimu, Happy, Ini Kasihku, Dingin Malam dan Mencapai Bintang. Hanya satu lagu saja, Mencapai Bintang yang liriknya ditulis pengurus saya, Nana.

"Lebih menarik, syarikat rakaman juga menyelitkan pertandingan yang menawarkan hadiah RM2,000 kepada mereka yang membeli album saya ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: