Friday, April 24, 2009

Ambil kesempatan pada lelaki

"Saya ingin menjadi ikon kepada remaja Malaysia sebab itu saya beranikan diri untuk jadi penyanyi. Saya ingin buktikan kepada mereka supaya berani mencuba perkara baru." – LIYANA




SAAT bertemu dengan pelakon berwajah comel, Liyana Jasmay, tuturnya kini tidak hanya tertumpu pada dunia lakonan semata-mata tetapi juga dunia nyanyian yang merupakan bidang baru buat dirinya.

Namun, baru saja dia mula bertatih, sudah ada kata-kata sinis yang sengaja mahu melumpuhkan langkahnya. Ini termasuklah hubungan rapatnya dengan beberapa komposer muda iaitu AG Coco dan Aizat, mula dipertikaikan.

Ada pihak mendakwa Liyana sengaja berbaik dengan komposer muda ini untuk memperoleh lagu terbaik bagi dimuatkan ke dalam album sulungnya yang berjudul Liyana Jasmay. Dalam kata lain, si kecil molek ini suka ambil kesempatan terhadap orang yang berada di sekelilingnya. Satu tanggapan serong yang sedikit sebanyak boleh menjejaskan imej putih bersihnya selama ini.

Mendengar dakwaan itu Liyana hanya tersenyum manja. Dalam senyuman merekah dari bibir seksinya, dengan nada tegas Liyana memberitahu: "Saya tidak pernah ambil kesempatan!"

Mengakui dua lelaki itu amat rapat dengan dirinya, tetapi tidak lebih hanya sebagai sahabat.

"Kebetulan Aizat boleh mencipta lagu dan AG boleh menyusun lagu, orang ingat saya ambil kesempatan atas persahabatan untuk album.

"Saya kenal AG secara profesional setelah dikenalkan oleh Noh Hujan, bermula daripada itu kami mula serasi untuk bekerjasama. Aizat pula saya kenal dia semasa satu sesi fotografi dan kami berkawan baik sejak itu."

Bukan saja dikatakan ambil kesempatan, persahabatan antara dirinya dan Aizat juga dikatakan telah melahirkan bibit cinta sehingga tercipta sebuah lagu duet hasil karya mereka berdua.

Sekali lagi, Liyana terdiam dan kemudian menjelaskan, lagu tersebut yang berjudul Penyelamat Cinta merupakan lagu tidak sengaja yang dicipta bersama Aizat.

"Kami hanya berlatih, kemudian terkeluar pula idea nak cipta lagu. Mula-mula hanya untuk suka-suka bila dengar balik okey pula, itu yang dimuatkan dalam album.

"Lagunya ciptaan Aizat, liriknya ditulis oleh saya sendiri. Kebetulan masa itu, abang Ajai selaku penerbit album mengatakan masih ada dua lagu yang perlu diisi ke dalam album jadi apa salahnya gunakan khidmat Aizat.

"Apa yang boleh saya cakap, kami bekerja sebagai rakan sahaja tidak lebih daripada itu. Macam mana saya layan AG begitu juga dengan Aizat. Orang sering mengaitkan kami berdua sebab selalu nampak kami bersama walhal hubungan kami profesional dan hanya sebagai kawan," ujarnya mempertahankan diri.

Walaupun begitu, gadis berusia 21 tahun ini tidak berani untuk berkata habis soal hubungannya dengan Aizat dan hatinya kerana dia sendiri tidak dapat meramalkan siapakah gerangan orang yang bakal dicintai suatu masa nanti.

"Saya masih solo dan belum punya sesiapa yang istimewa. Tambahan usia saya masih muda dan kini hanya tumpukan perhatian pada kerjaya terlebih dahulu.

"Saya akui memang suka mencintai dan dicintai tetapi biarlah ia datang dengan sendirinya. Saya pun tidak boleh cakap habis, sekarang memang saya banyak berkawan dengan lelaki termasuk Aizat. Masa depan apa akan jadi, saya tidak tahu macam mana arahnya lagi," tuturnya jujur.

Tidak boleh nyanyi live?

Berbicara tentang keputusannya memilih laluan sebagai penyanyi, Liyana mengakui ia suatu keputusan yang sukar. Sudah pasti kebimbangan utamanya seandainya kerjaya baru itu tidak membuahkan hasil seperti mana yang diinginkan. Lebih membimbangkan kalau suaranya dalam karier nyanyian kurang berjaya menghiburkan pendengar berbanding ketika dia tampil sebagai pelakon.

Bagaimanapun nekad menjadikan Liyana tidak mahu mengalah awal. Apatah lagi bila memikirkan bukan sehari dua dia teringin dan menyimpan untuk menjadi penyanyi, diteruskan juga hasrat itu walaupun pada mulanya ramai yang meragui akan bakatnya.


BUKAN ambil kesempatan, cuma belajar dari kawan-kawan.


Katanya, dia bukan 'syok' sendiri tetapi mempunyai impian besar, lebih daripada seorang selebriti. Liyana mahu serba boleh dan tampil sebagai ikon.

"Saya ingin menjadi ikon kepada remaja Malaysia, sebab itu saya beranikan diri untuk jadi penyanyi. Saya ingin buktikan kepada mereka supaya berani mencuba perkara yang baru dalam kehidupan.

"Walaupun saya dikenali sebagai pelakon, saya cuba untuk jadi penyanyi kerana saya merasakan antara lakonan dan nyanyian tidak banyak bezanya.

"Selain itu, kalau mengikut konsep teater pula, seorang pelakon yang baik harus berkebolehan dalam lakonan, nyanyian, tarian dan bermain muzik," luahnya yang amat meminati teater muzikal.

Mungkin masih ramai yang tertanya-tanya mampukah Liyana menyanyi secara live? Ini kerana dia jarang dilihat di pentas persembahan.

Malah, ada yang mengatakan suaranya sumbang dan tidak boleh pergi jauh terutama persembahan secara langsung.

Bagaimanapun, gadis yang begitu kagum dengan ikon Disney, Miley Cyrus menjelaskan, dia sedar akan kemampuannya tidaklah seperti penyanyi hebat yang lain. Dia bagaimanapun sudah sedia untuk belajar melengkapkan ilmu di dada.

"Saya bukan tidak boleh nyanyi live, cuma sekarang ini saya perlu banyak latihan. Bagi memantapkan vokal dan persembahan saya mengambil kelas vokal dengan Cikgu Shafi (Shafizawati Shariff) kelas piano dan kelas tarian.

"Cikgu Shafi pun memberitahu, saya harus buat sekurang-kurangnya 30 ke 40 persembahan baru saya benar-benar bersedia. Jadi saya ada buat persembahan di beberapa negeri sebelum ini, ia boleh dikira sebagai satu latihan buat saya," bicaranya.

Sedang mencari penari

Mengenai album mininya yang berkonsep pop, ia mengandungi lima buah lagu. Tiga lagu dicipta oleh Ajai iaitu Aku Jatuh Cinta, Kejam dan Aku Tak Percaya Cinta kini sedang hangat diputarkan di radio.

Dua buah lagu lagi berjudul Pelik, ciptaan AG Coco dan Penyelamat Cinta, ciptaan Aizat dan lirik oleh Liyana sendiri.


SEBAGAI remaja, Liyana mahu mengotakan segala keinginan yang selama ini didambakan.


Buat masa ini hanya satu single yang diketengahkan iaitu Aku Jatuh Cinta bermula 19 Mac lalu, manakala single kedua akan dikeluarkan dalam Mei atau Jun depan.

"Selepas single kedua dikeluarkan, baru saya akan lancarkan album. Semua persediaan sedang dilakukan termasuk klip video.

"Saya juga mempunyai band sendiri. Mereka bukanlah band Liyana Jasmay tetapi pemuzik yang akan mengiringi setiap persembahan saya.

"Saya juga sedang dalam pencarian dua penari. Apa yang penting saiz badan mereka perlulah lebih kurang sama dengan saya, tidaklah tenggelam nanti jika menari di atas pentas," katanya sambil tertawa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: