
![]() |
| |
Penyanyi dan pelakon Indonesia, Agnes Monica, telah dikecam teruk segerombolan golongan yang berasa penyanyi berusia 23 tahun ini tidak sensitif dan menyinggung perasaan rakyat Malaysia dengan lagu berjudul Allah Peduli. Perkataan Allah itu dikatakan tidak seharusnya diguna pakai dalam sebuah lagu.
Bertemu dengan Agnes di Plaza Senayan, Jakarta, Indonesia, artis berbangsa Cina yang menganut agama Kristian ini mempunyai jawapan untuk kontroversi yang tercetus.
Dalam bicaranya, Agnes yang sedang popular dengan single terbarunya, Teruskanlah, ringkas menyimpul situasi dengan berkata: "Jangan mencari musuh. Lebih enak kita semua berteman walau berbeza agama."
Kamu tahu tentang isu Allah Peduli di Malaysia? Apa komen kamu?
Ya, saya tahu. Sejujurnya baru tahu. Begini ya. Lagu itu sebenarnya lagu yang dibikin khusus untuk dinyanyikan di gereja. Allah Peduli tidak pernah terkandung dalam mana-mana album saya.
Di sini, saya rasa masalahnya timbul kerana bahasa. Dalam agama saya iaitu Kristian, perkataan Allah itu sama maksudnya dengan Tuhan dan Jesus seperti yang terkandung dalam kitab kami.
Di Indonesia, ia juga tidak menjadi satu isu kerana penggunaan perkataan Allah itu juga diguna pakai oleh semua orang yang percaya kepada agama mereka.
Maksudnya sekarang anda berasa tiada yang salah dalam penggunaan perkataan Allah itu?
Ya. Makanya sebab itu saya kata ia adalah masalah bahasa. Begini, kita kalau melihat sisi negatif, maka apa yang kita dapat adalah negatif. Saya bukan tidak sensitif atau peka, tapi itu adalah penggunaan bahasa.
Tapi sensitiviti rakyat atau masyarakat Islam di Malaysia itu berbeza dengan di Indonesia?
Saya bukan orang yang tidak sensitif. Hanya pada saya, jangan kerana masalah bahasa, ia menggoyang keharmonian kita. Jujur, saya tidak akan meminta maaf kerana kesalahan bahasa.
Begini ya, mengapa kita perlu menuding dan cuba mencari kesalahan bahasa ini? Mengapa kita harus membandingkan agama yang kita percayai? Jangan begitu dan membuat perbezaan.
Menurut saya, apa pun pegangan atau kepercayaan seseorang itu, jika dia jahat, maka tetap jahat dan begitu juga sebaliknya. Dan paling penting, Allah Peduli bukan sebuah lagu komersial yang dimainkan di corong radio. Sebaliknya Allah Peduli adalah sebuah lagu gereja.
Tapi kamu tidak takut kalau peminat kamu di Malaysia lari?
Tidaklah, saya percaya peminat saya di Malaysia bijaksana. Saya amat berterima kasih dan menghargai peminat saya. Saya juga tidak pernah menyalahkan pihak yang mengharamkan lagu saya atau menimbulkan isu ini.
Cuma pada pendapat saya, daripada memperdebatkan isu ini, lebih baik kita mencari hal positif dan hidup bermasyarakat dengan lebih harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.
Saya juga meminta jasa baik pihak media Malaysia dan semua peminat agar tidak memanjangkan isu ini. Dengan penjelasan ini, saya berharap kekeruhan yang terjadi mampu jernih.
Okey, kamu baru muncul dengan album ketiga. Apa yang lebih istimewa tentang Sacredly Agnezious ini berbanding dua sebelumnya?
Ia adalah album yang menyaksikan saya menjadi penerbit dan bekerjasama dengan tenaga produksi yang lain. Perasaannya lebih puas kerana saya membikin sendiri karya-karya saya. Ia boleh diklasifikasikan sebagai sebuah album yang lebih energetik dan mempunyai banyak nuansa yang segar.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: