![]() |
| |
Abby mendakwa ada pihak di dalam produksi itu cuba memburukkan namanya dengan Zul sehingga menyebabkan mereka membuat keputusan menarik diri dari berlakon drama berkenaan selepas tiga hari menjalani penggambaran.
Khabarnya Abby berkecil hati apabila membaca laporan di dalam ruangan pojok Kring Kring Pancaindera minggu lalu kononnya dia telah mendesak seorang produser drama supaya mengambil Zul berlakon bersamanya.
Sebaliknya kata Nor Faiz pula, Abby membuat tuduhan yang tidak tepat selain mengambil tindakan tidak profesional kerana menarik diri secara tiba-tiba.
Nor Faiz ketika menjelaskan perkara itu kepada Pancaindera Rabu lalu berkata dia menyerahkan kepada peguamnya, Nor Asmah Hashim dari tetuan Fatimah Yong & Associates untuk mengambil tindakan .“Saya akan saman Abby dan Zul kerana mereka telah melanggar kontrak,” katanya.
Sementara itu Zul tidak mahu mengulas apabila diminta memberi penjelasannya berhubung kejadian berkenaan. Abby pula dalam reaksinya berkata, tidak guna dia meneruskan penggambaran sesebuah drama sekiranya ada pihak di dalam produksi tidak berpuas hati dengannya dan mengata di belakang. Kepada wartawan NIEZAM ABDULLAH mereka menjawab perkara itu.
Apa sebenarnya yang berlaku di antara Abby, Zul dan syarikat saudara sehingga mereka menarik diri dari berlakon drama itu?
Saya pun tak faham. Kisahnya pada hari Ahad lalu. Masa itu kami ada penggambaran drama di FRIM (Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia). Lepas baca laporan Pancaindera kononnya seorang produser terpaksa mengambil Zul berlakon dalam drama tersebut apabila didesak oleh Abby, terus perkara ini menjadi panas.
Kenapa pula? Apa kena mengena dengan Pancaindera?
Abby menuduh kononnya produser yang dimaksudkan itu adalah saya. Dia kata saya yang sebarkan cerita untuk memburuk-burukkan dirinya dengan Zul. Terus terang saya katakan yang saya tidak terlibat langsung dalam hal itu. Saya tahu Zul dah telefon Niezam untuk mendapat penjelasan. Saya harap mereka fahamlah apa sebenarnya yang berlaku.
Kenapa Abby tidak mahu berlakon dalam drama itu?
Kisahnya kami dah tiga hari menjalani penggambaran. Dalam drama ni Zul pegang watak utama dan Abby pelakon pembantu. Masa di FRIM, hanya Zul dan beberapa pelakon lain saja ada. Abby tak datang sebab tak ada watak untuk dia pada hari itu. Entah macam mana tengah hari Ahad lepas saya dapat mesej daripada Abby, dia kata dia nak tarik diri. Dia tak mahu meneruskan lakonan dalam drama itu lagi.
Ada tak saudara telefon Abby untuk menjelaskan keadaan sebenar?
Saya telefon tapi dia tak angkat. Saya pun malaslah.
Zul pula macam mana?
Masa di lokasi (FRIM) dia meneruskan lakonan macam biasa. Yang buat saya terkejut, masa kita orang nak pindah ke lokasi lain selepas di FRIM tu, Zul tak muncul-muncul. Saya dapat SMS daripada Zul tak lama kemudian. Dia kata dia nak tarik diri berlakon drama saya beberapa jam selepas Abby membuat keputusan yang sama.
Apa reaksi saudara sebagai produser ketika tu?
Lepas baca SMS Zul, saya malas nak balas. Biarlah. Saya anggap ini semua ujian kepada saya. Dia orang buat tindakan yang salah iaitu membuat tuduhan tak betul kepada saya dan nak tarik diri pula. Saya tak boleh nak buat apa-apa lagi.
Apa tindakan Aficionado Media Sdn. Bhd. pula dalam hal ini?
Saya dah serahkan segala-galanya kepada peguam saya iaitu Nor Asmah Hashim dari tetuan Fatimah Yong & Associates untuk mengambil tindakan kepada Abby dan Zul. Dia orang dah langgar kontrak. Saya dah serahkan semua kontrak itu kepada pihak peguam untuk tindakan.
Adakah berlaku apa-apa perkara dalam produksi saudara sebelum ini?
Dengan saya tak adalah. Tapi saya tak nafikan Abby ada masalah kecil dengan penolong penerbit saya. Tapi biasalah dalam set penggambaran kalau ada masalah kecil. Mana-mana produksi pun mengalami masalah yang sama. Tapi ia bukan isu besar pun kepada saya.
Habis tu siapa yang ganti Zul dan Abby?
Syukurlah Tuhan tu nak tolong saya. Saya dah dapat Adi Putra sebagai pengganti Zul dan Catriona Ross menggantikan Abby. Saya terpaksa buat penggambaran semula gara-gara Abby dan Zul tarik diri. Tapi saya tak kisah ini mungkin ujian untuk saya. Saya terima sajalah.
Komen Zul dan Abby
Apa yang Zul nak katakan dalam hal ini?
ZULKIFLI: Saya tak nak komen apa-apalah. Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku. Memang saya tarik diri daripada berlakon drama itu. Itu saja yang saya boleh cakap buat masa ini. Kalau ada apa-apa perkembangan saya akan bagi tahu kepada abang Niezam.
Abby pula macam mana?
ABBY ABADI: Saya sedih benda macam ini berlaku. Saya mengaku lepas baca Pancaindera Ahad lepas, terus saya buat keputusan nak tarik diri.
Kenapa?
ABBY ABADI: Buat apa nak berlakon kalau di belakang, ada orang kata macam-macam. Ini semua boleh menjatuhkan maruah saya. Itu yang buat saya kecewa sangat. Macam mana nak ada mood berlakon kalau benda yang macam ini orang dok bercerita? Tak apalah bang, sekarang saya tak boleh nak cakap banyak sebab tengah ada fotografi untuk projek Anugerah Bintang Popular (ABP) ni.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: