Monday, March 16, 2009

Apabila pelakon lelaki jadi ‘mak nyah’

RAJA Azmi Raja Sulaiman tidak kisah apabila dilabelkan sebagai penerbit syok sendiri kerana kebanyakan filem terbitannya dihasilkan atas cita rasanya.

Malah, boleh dikatakan setiap filem yang diterbitkannya juga sering menimbulkan kontroversi yang secara tidak langsung menarik minat orang ramai menontonnya di pawagam.

Sayang sekali, kontroversi yang tercetus itu pula gagal membantu filem-filem terbitannya mengaut kutipan tiket box-office termasuklah filem Black Widow dan Cinta 200 Ela yang ditayangkan tidak lama dulu.

Menerusi Black Widow contohnya, filem itu dikatakan syok sendiri dan ia kurang mendapat sambutan daripada para penonton sewaktu ia ditayangkan.

Raja Azmi dituduh mengamalkan unsur kronisme kerana menjemput abang iparnya, Datuk Misbun Sidek iaitu bekas pemain badminton negara berlakon dalam Black Widow.

Malah, beliau turut menjemput Rashid Sidek berlakon dalam filem Cinta 200 Ela meskipun adik iparnya itu bukanlah daripada kalangan pelakon, sebaliknya lebih menyerlah sebagai pemain badminton.

Selain bias dalam soal pemilihan pelakon, banyak filem terbitan Raja Azmi juga mencetuskan kontroversi termasuklah filemnya Pure Gold... Emas Malaya yang tidak ditayangkan sehinggalah kini kerana masalah dalaman yang dihadapinya.

Beliau kini banyak belajar daripada pengalaman-pengalaman tersebut dan tidak mahu mengulanginya dalam filem terbaru terbitannya berjudul Anu Dalam Botol.

Menurut Raja Azmi, filem yang akan diarahkan oleh Shadan Hashim itu tidak lagi menampilkan sentimen syok sendiri termasuklah daripada segi jalan cerita dan pemilihan pelakonnya.

Sebaliknya, isteri bekas pemain beregu badminton negara, Jailani Sidek itu akan menampilkan jalan cerita yang hangat diperkatakan oleh masyarakat masakini selain mengadakan uji bakat untuk filem terbarunya itu.

“Saya tidak mahu syok sendiri lagi. Saya sudah puas syok sendiri. Kali ini saya mahu kita semua berasa syok beramai-ramai. Saya terbitkan filem ini untuk tontonan semua orang.

“Saya belajar daripada pengalaman lepas dan tidak kisah dengan label yang telah diberikan kepada saya itu,” katanya ketika ditemui di lokasi uji bakat Anu Dalam Botol baru-baru ini.

Uji bakat yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu dikendalikan oleh pengarah, Shadan Hashim, pelakon, Adlin Aman Ramli dan pemerhati filem, Roslen Fadzil.

Jelasnya, uji bakat itu diadakan bagi memilih barisan pelakon yang bukan sahaja popular dan berbakat tetapi juga sesuai untuk melakonkan watak-watak dalam filem tersebut.

“Kalau dulu saya tidak berapa mengambil berat soal pemilihan pelakon. Tetapi mulai filem Haru Biru yang ditayangkan tahun lalu, saya mula mengambil perhatian dalam soal ini,” ujarnya.

Sejak uji bakat itu diadakan pada 24 Februari lalu ramai pelakon terkenal seperti Zul Huzaimy, Tony Eusoff, Zizan Nin, Ryzal, Fauzi Nawawi, Adi Putra dan Iqram Dinzly telah tampil mencuba nasib untuk filem itu.

Pasangan homoseksual

FILEM yang berkisar tentang hubungan pasangan homoseksual itu katanya, memerlukan pelakon yang paling sesuai untuk melakonkan watak pondan iaitu, Ruby dan pasangannya, Ghaus.

“Bagi saya, uji bakat sebelum penggambaran filem perkara biasa di Hollywood. Di sana pelakon seperti Tom Cruise contohnya, juga menjalani uji bakat sebelum diterima berlakon dalam filem.

“Kalau tidak terpilih, itu tidak bermakna mereka tidak bagus tetapi mungkin watak itu tidak sesuai dengan mereka. Semua yang datang pada sesi uji bakat filem ini bagus-bagus belaka.

“Sebab itu, untuk filem Anu Dalam Botol, saya lantik Adlin Aman Ramlie sebagai pengarah pemilihan pelakon bagi mencari pelakon-pelakon yang benar-benar sesuai,” jelasnya.

Katanya, pemilihan pelakon terutama watak Ruby dan Ghaus bukan sahaja harus mampu dijiwai oleh para pelakon yang akan terpilih kelak, malah ia juga mampu menimbulkan kesan di hati para penonton yang menontonnya kelak.

Pada sesi uji bakat itu, para peserta yang hadir akan disuruh melakonkan beberapa adegan antaranya termasuklah adegan bercumbu-cumbuan dan pertengkaran.

Adegan-adegan yang turut membabitkan watak Ruby dan Ghaus sewaktu beraksi di atas ranjang katanya, cukup penting sebagai salah satu tarikan tentang gambaran hubungan gay yang semakin berleluasa pada masa kini.

“Ada tiga adegan ranjang dalam filem ini. Saya sudah melihat pelakon seperti Zizan Nin dan Zulhuzaimy melakonkan watak Ruby. Terpulanglah kepada Adlin untuk memilih pelakon yang sesuai.

“Pemilihan itu berdasarkan karakter, ujian melakonkan beberapa adegan dan juga berdasarkan visual lakonan mereka yang telah dirakamkan pada sesi tersebut,” katanya.

Meskipun sesi uji bakat sudah berlangsung, jelas Raja Azmi, beliau dan Adlin masih belum memutuskan pelakon manakah yang berjaya dalam sesi berkenaan, sekali gus bakal membintangi filem tersebut.

Selain watak Ruby dan Ghaus, Anu Dalam Botol juga akan mengadakan sesi uji bakat untuk watak Dina iaitu seorang Pembantu Peribadi dan juga Bibik iaitu orang gaji warganegara Indonesia.

“Empat watak itu paling penting dalam filem ini. Sebab itu, kami perlukan pelakon yang betul-betul boleh menghayati dan sesuai dengan watak-watak itu. Semuanya berdasarkan kehendak skrip.

“Jadi, siapa juga pelakon yang terpilih untuk melakonkan watak itu nanti saya yakin mereka mampu untuk melakonkan watak masing-masing dengan baik,” jelasnya.

Kontroversi

ANU Dalam Botol yang diolah dalam genre drama sisi gelap arahan pengarah, Shadan Hashim itu dijangka mencetuskan kontroversi kerana jalan ceritanya yang berkisar tentang golongan gay.

Malah, kata Raja Azmi, biarpun penggambaran filem dengan kos tidak sampai RM1 juta itu sudah mula menjadi bualan ramai dalam dunia perfileman tempatan kerana isu tersebut.

“Mungkin isu gay yang saya cuba ketengahkan dalam filem ini memang berleluasa dalam masyarakat hari ini. Kalau tidak, saya rasa orang tidak akan memberi perhatian terhadap isu itu.

“Saya harap ini merupakan suatu petanda awal untuk filem terbaru saya ini mampu untuk menarik perhatian para penonton. Secara tidak langsung filem ini memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Filem terbitan saya ini bukan setakat menjadi bahan hiburan tetapi juga boleh menyampaikan mesej kesedaran akan kesan buruk hubungan homoseksual,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) memberi kerjasama terhadap filemnya itu.

Ini kerana katanya, pihak-pihak terbabit akan menentukan sejauh mana Anu Dalam Botol mampu menyampaikan mesej-mesejnya kepada para penonton kelak.

“Saya harap Jakim dan LPF akan memberi kerjasama termasuklah dalam soal kelonggaran kerana adegan-adegan yang saya cuba tampilkan bukanlah terlalu keterlaluan.

“Selain itu, pihak seperti Kementerian Pendidikan juga boleh memberi sokongan, misalnya bekerjasama dengan kami bagi memberi kesedaran tentang Aids kepada para pelajar.

“Pendedahan dan kesedaran bagi mencegah gejala ini haruslah diperluaskan dalam semua medium termasuklah menerusi bidang perfileman yang dilihat cukup berkesan,” katanya.

Kostum dari Universal Studios

Bagi menjayakan Anu Dalam Botol, Raja Azmi bukan setakat menitikberatkan soal barisan pelakonnya, malah kostum yang akan digunakan juga diberi perhatian utama.

Beliau contohnya, akan membeli terus peralatan dan kostum yang akan digunakan oleh para pelakon filem itu dari Universal Studios di Hollywood, Amerika Syarikat.

“Untuk meninggalkan kesan lakonan yang lebih jelas, saya akan memesan barangan seperti rambut palsu, buah dada palsu, punggung palsu dan kosmetik khas untuk watak Ruby.

“Saya jangkakan kos untuk membeli kesemua barangan dan kostum itu berjumlah tidak lebih RM20,000. Ia terpaksa dibeli dari sana kerana tidak banyak dijual di sini,” ceritanya.

Sementara itu ketika ditanya keupayaan Shadan Hashim dalam menggalas tugas pengarah filem Anu Dalam Botol, Raja Azmi yakin pengarah muda itu mampu melaksanakannya dengan baik.

Meskipun masih baru dalam bidang pengarahan filem, tetapi Shadan katanya, telah membuktikan kemampuannya mengarah beberapa filem cereka termasuklah filem pendek sebelum ini.

“Saya yakin dengan keupayaan dan bakat Shadan mengarah filem ini. Ini kerana, sebelum ini filem terbitan saya yang berjudul Haru Biru juga dia yang arahkan. Segalanya berjalan lancar.

“Malah, pengarah U-Wei Haji Shaari juga setuju apabila saya memilih Shadan sebagai pengarah filem Anu Dalam Botol. Sebelum ini, Shadan juga pernah menjadi penyunting beberapa filem.

“Antaranya, Shadan pernah menjadi penyunting filem pendek, Sebuah Pohon Rambutan Di Tanjung Rambutan yang diarahkan oleh U-Wei. Shadan telah membuktikan kreativitinya,” ujarnya.

Anu Dalam Botol mengisahkan konflik sepasang lelaki pasangan homoseksual iaitu Ghaus dan Ruby.

Mereka saling mencintai tetapi akhirnya pasangan itu sedar bahawa hubungan berkenaan tidak membawa mereka ke mana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: