Sunday, January 11, 2009

Rozita Che Wan beri penjelasan


Rozita Che Wan

Isu mungkir janji drama Gerak Khas, BMW 3 Series, pernikahan dan susuk sekadar kontroversi

HANYA selang seminggu, gosip dan kontroversi terbaru pasti terpalit dalam kehidupan aktres jelita, Rozita Che Wan. Pastinya cerita yang digembar-gemburkan itu menyentuh kehidupan peribadi mahupun kerjaya Rozita, namun kebanyakannya tidak sedap halwa telinga mendengarnya. Tapi, sejauh mana kebenarannya, hanya empunya diri saja yang tahu.

Terbaru, Rozita dikatakan mungkir janji dengan penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam apabila dia dicanang tidak menepati janjinya untuk membintangi drama kepolisan, Gerak Khas. Belumpun persoalan itu menemui jawapan pasti daripada Rozita, industri hiburan sekali lagi dikejutkan dengan berita pelakon cantik itu akan menamatkan status solonya dalam masa terdekat ini apabila dia dikatakan sudah menempah baju pengantin!

Kesempatan bertemu Rozita petang Selasa lalu digunakan sebaiknya untuk merungkai segala gosip mahupun kontroversi berkenaan termasuklah cerita sensasi sebelum ini apabila dia dicanang kononnya menerima hadiah kereta mewah, BMW 3 Series (M Sports) pemberian suami Datuk Siti Nurhaliza iaitu Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau dikenali sebagai Datuk K.

Sedikit masa lalu, wujud gosip panas menyatakan ada artis jelita tidak boleh melangkah longkang kononnya kerana dia memakai susuk untuk mengekalkan kecantikannya. Rozita akui ia seperti ditujukan terhadap dirinya. Ikuti penjelasan Rozita.

'Saya tak mungkir janji!'

"SEBENARNYA tidak wujud istilah tidak menepati atau lupa janji. Cuma saya tidak beri sebarang tarikh yang pasti bila saya boleh menjalani penggambaran Gerak Khas. Apabila diminta menandatangani kontrak, saya kata tunggulah sehingga saya beri tarikh bila saya boleh mula shooting. Tapi, Datuk Yusof kata, tanda tangan dulu, nanti apabila sudah dapat tarikh, beritahu saja pihak produksi. Datuk nak saya shooting, lapan hari sebulan.

Saya pun tanda tangan sajalah kontrak itu apabila diminta. Namun, untuk beberapa ketika saya masih gagal memberikan tarikh bila saya free boleh shooting dengan Skop Productions. Justeru, gosip yang dikeluarkan Normah Becok terbitan Berita Harian 5 Januari lalu yang mengatakan berpeluh-peluh krew menantikan kedatangan saya, namun saya tidak muncul, itu tidak benar. Macam mana krew nak tunggu, tarikh pun saya tak beri lagi.

Saya akui, apabila Datuk menawarkan saya watak dalam Gerak Khas, memang saya teruja untuk pakai uniform polis. Ketika saya berlakon filem Sifu & Tonga sebagai polis, saya tidak berpeluang pakai uniform, tapi dalam Gerak Khas ada uniform, pastinya saya tidak mahu melepaskan peluang itu. Masalah saya sekarang ini dengan Skop hanya tarikh lapan hari sebulan itu saja.

Kalau saya sengaja tak mahu beri tarikh atau tidak berminat membintangi Gerak Khas, mengapa saya sanggup tanda tangan kontrak pada awalnya? Tapi, berita gembira yang saya nak kongsi, saya baru saja memberikan tarikh free yang lapan hari itu kepada Skop hari ini (6 Januari)! Fitting uniform polis pula dalam masa terdekat ini. Saya dimaklumkan, penggambaran akan bermula pertengahan Januari. Saya memegang watak sebagai DSP Rita.

Saya juga dikatakan buat perangai dengan produksi lain apabila didakwa tidak pernah insaf menyusahkan orang. Terus-teranglah, satu hari saya shooting satu lokasi saja. Saya tak pernah buat orang menunggu. Tanyalah orang produksi, macam mana call time dan komitmen saya dalam kerja. Janganlah kerana saya ada masalah tarikh dengan Skop, ada pihak cuba mengaitkan disiplin diri saya dengan produksi lain.

Januari ini saya akan mula shooting dengan Skop. Apabila saya selesai membintangi sebuah drama baru-baru ini, barulah saya boleh beri komitmen kepada Gerak Khas. Saya harap dengan penjelasan ini dapatlah menjernihkan keadaan."

Rahsiakan identiti suami

"Belumpun reda kisah saya dengan Skop, tiba-tiba ruangan Soseh Soseh terbitan Harian Metro 6 Januari lalu memaparkan judul artikel ‘Harap Rozita tak main sorok-sorok’ apabila gosip berkenaan mendakwa saya akan bernikah dalam masa terdekat ini! Siapa sumber yang boleh dipercayai itu, beritahu sajalah...

Kononnya saya sudah membuat tempahan baju pengantin yang direka khas seorang pereka fesyen terkenal, siapa pereka fesyen itu? Man Kajang ke, Calvin Thoo ke? Sebenarnya masuk 2009 ini, belum ada sebarang perancangan atau agenda saya akan bernikah, macam mana nak kahwin, calon pun tak ada lagi.

Tapi, saya tak mampu menolak qada dan qadar Tuhan, manalah tahu, tiba-tiba dalam masa dua, tiga hari ini saya bertemu jodoh, saya reda. Tapi, saya tak nafikan, sekitar November lalu saya ada pergi ke sebuah butik, itupun atas undangan butik berkenaan, bukannya tempah baju pengantin! Memang saya ada pilih kain kerana butik itu nak beri cendera hati, bukannya pilih kain nak buat baju pengantin!

Insya-Allah, apabila perkara yang baik itu menjadi kenyataan suatu hari nanti, saya nak kongsi dengan semua orang. Tapi, sekiranya situasi tidak mengizinkan kita menghebohkan perkahwinan itu, macam mana? Takut jugalah kan, kita tak tahu lagi siapa bakal suami kita. Kalau ikutkan saya, saya nak canang cerita kahwin kepada semua.

Namun, jika bakal suami atau suami tidak mahu perkahwinan dihebohkan, saya seolah-olah tersepit. Sekiranya berlaku keadaan seperti itu, saya tak akan sorok berita perkahwinan saya. Namun, apabila memikirkan keadaan diri saya sebagai public figure, saya tetap mengaku akan atau sudah berkahwin, cuma saya tidak mampu mendedahkan siapa sebenarnya bakal suami atau suami saya demi menghormati permintaannya.

Walau apa sekalipun keadaan, saya tidak akan sorok perkahwinan kami. Saya sedar, media tidak suka ditipu, lagipun saya mempunyai hubungan baik dengan kebanyakan rakan wartawan.

“Selain itu, cerita kononnya saya terima hadiah BMW daripada Datuk K nampaknya sudah senyap. Namun, saya ada terima mesej bergambar, gambar saya dan Datuk K di sebelah, di bawah pula gambar Datuk Siti sedang meraung. Bagi saya, itu bukan gurauan! Saya harap gosip tidak berasas ini dihentikan segera, janganlah dijadikan bahan permainan.

Sebagai wanita, saya faham perasaan Datuk Siti. Kita perlu menghormati perasaan orang lain. Janganlah buat persepsi, status ibu tunggal saja mudah dapat tajaan VIP, tengoklah macam mana saya bekerja. Lainlah kalau saya duduk di rumah saja, goyang kaki, tiba-tiba pakai BMW, siap dengan pemandu sekali, orang nak bercakap, itu patutlah!”

'Memang saya tak langkah longkang!'

"Heboh orang bercerita, kecantikan yang dianugerahkan kepada saya tidak original apabila saya didakwa kononnya mengamalkan aktiviti kurafat seperti memakai susuk atau pakai Botox! Justeru, ada beberapa pantang larang yang saya perlu akur. Ingin saya tegaskan di sini, saya tak pakai susuk, tak guna Botox!

Namun, saya tak nafikan, saya mengamalkan beberapa petua. Misalnya, lepas mandi lap badan kita dari bawah naik ke atas, orang kata lambat kedut. Begitu juga dengan lalu bawah ampaian. Kalau tak ada baju tak apa, tapi jika ada baju yang masih tersidai, elakkan lalu di bawahnya.

Bayangkan kalau ada pakaian dalam yang belum kering sepenuhnya, tak elok apabila air basuhannya menitik atas badan kita, bukannya sebab kita pakai susuk, maka tak boleh lalu bawah ampaian.

Begitu juga dengan langkah longkang, boleh langkah sekiranya air jernih. Kalau airnya kotor, elok dielakkan, kita jangan langkah sebab kita tak tahu ‘benda-benda’ tak elok yang ada di dalamnya, kita tak nampak. Orang kata, kalau langkah longkang kotor, senang terkena ‘buatan orang’. Namun, semuanya sekadar petua. Orang kata, kalau sekadar petua, kita tak ikut pun tak mengapa.

Jika saya perlu melangkah longkang apabila itu saja jalan pintas untuk ke seberang, saya langkah juga! Orang kata, kita hanya tawakal. Bukan sebab saya pakai susuk, saya tak boleh langkah longkang. Saya pernah terbaca gosip, ada artis tak boleh langkah longkang sebab pakai susuk, bagi saya itu sekadar gurauan.

Satu lagi petua, kalau kita mandi, tak elok basuh kepala dulu, kena basahkan badan dulu, kalau basuh kepala dulu, nanti cepat beruban. Kalau tak nak ikut petua itu, terpulang. Kalau minum pula jangan berdiri, mesti duduk, itu satu lagi petua yang sering saya amalkan. Semua petua ini semata-mata untuk kebaikan diri sendiri, bukannya kerana susuk."

Info Rozita Che Wan

NAMA PENUH: Rozita Che Wan

ASAL: Alor Star, Kedah

UMUR: 36 tahun

KELUARGA: Anak kedua daripada tujuh beradik

STATUS PERKAHWINAN: Ibu tunggal

ANAK: Ammar Effendy, 13, dan Aniq Ezzra, 11

PENGALAMAN KERJAYA: Pramugari, Penerbangan Malaysia (MAS)

PRODUK: Rorine, Egyption Potion dan L'oreal

DRAMA BERSIRI/TELEMOVIE: Sesuci Cinta Sofia, Jelatang, Susuk 2, Ai Di Beijing, Bara Yang Ku Genggam, Diari Ramadan Raffique dan Ayyad

FILEM: Misteri Balan Balan The Movie, Sepi, Dunia Baru The Movie, Kantoi, Jangan Tegur dan Sifu & Tonga

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: