Friday, January 2, 2009

Cinta Sampai Mati


CINTA Zuraidah Badron atau Syura, 22, begitu mendalam pada irama tradisional dari dulu sampai sekarang. Bagi penyanyi yang popular dengan lagu Nazam Berkasih ini, irama itu sudah cukup sebati dengan dirinya.

Lebih bermakna, lagu dendangan penyanyi dari Johor ini, Pujangga Merindu (lagu Radeen Sri @ Eddie Hamid/lirik Hairul Anuar Harun) berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik kategori etnik kreatif, baru-baru ini.

Justeru, tidak hairanlah, Syura tidak pernah berputus asa untuk terus memperjuangkan lagu berkonsep tradisional, sekalipun senario industri muzik tanah air, seolah-olah meminggirkan lagu irama sedemikian.

Terbaru, penyanyi bersuara lunak ini mempertaruhkan bingkisan album kompilasi Khazanah Pujangga yang menampilkan 20 lagu etnik tradisional dan menjengah pasaran sejak 15 Disember lalu. Sebelum ini, Syura pernah tampil dengan dua album pop dan empat album irama malaysia.

"Walaupun tidak muncul dengan album penuh dan sekadar album kompilasi, ia adalah koleksi lagu terbaik saya. Saya harap, tiga lagu baru yang dimuatkan dalam album ketujuh ini cukup untuk mengubat kerinduan peminat yang ternantikan lagu baru.

"Saya sedar lagu etnik tradisional dipinggirkan ketika ini dan sebagai penyanyi, saya perlu bijak mengadunkan lagu asli dengan elemen moden bagi memastikan ia menepati cita rasa peminat sekarang," katanya.

Syura berkata, lagu etnik tradisional bukannya tidak berkualiti hingga dipandang sepi, malah hanya tiga lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu berbanding lima dan enam lagu bagi kategori balada dan pop rock, sebaliknya kurang sokongan daripada komposer kita.

"Mengenai kekurangan lagu irama tradisional atau etnik kreatif pada pencalonan Muzik-Muzik, pada pemerhatian saya, pasti ada lagu dalam kategori terbabit dicalonkan setiap minggu.

"Saya juga berharap, kategori ini tidak dimansuhkan dan lagu etnik kreatif yang layak ke peringkat akhir juga terus dikekalkan kepada tiga lagu saja kerana jika dikurangkan, saya bimbang ia akan pupus.

"Terus terang saya akan terus berjuang untuk memartabatkan lagu irama tradisional sampai bila-bila pun. Biarlah, penyanyi lain tidak berminat untuk buat lagu tradisional tapi saya tetap akan pertahankan lagu irama sedemikian.





"Hakikatnya, bukan semua penyanyi muda boleh bawa lagu irama tradisional kerana ramai yang memilih irama popular sekarang. Justeru, kalau saya tidak perjuangkan, siapa lagi?" katanya.


Sebagai bukti, kata Syura, sambutan peminat kepada lagu berentak etnik tradisionalnya lebih memberansangkan berbanding album pop yang dihasilkannya sebelum ini.

"Saya yakin, lagu irama tradisional ada pengikutnya tersendiri dan masih boleh dijual dalam kegawatan pasaran album sekarang. Contohnya, album duet saya bersama Datuk M Daud Kilau, Senandung Melayu (2002) masih dijual sampai sekarang.

"Saya yakin, permintaan untuk irama tradisional tetap ada. Malah, undangan persembahan untuk lagu irama sedemikian tidak pernah putus diterima membabitkan majlis korporat dan golongan diraja yang juga peminat lagu irama sedemikian," katanya.

Bercerita lanjut mengenai kompilasi terkininya itu, Syura berkata, selain lagu Pujangga Merindu, ia turut memuatkan satu lagu baru ciptaan komposer terkenal, M Nasir.

"Sebenarnya, sudah lama, saya menyimpan impian untuk merakamkan lagu ciptaan komposer disegani itu. Sebab itu, saya sanggup menunggu lebih lama untuk mendapatkan khidmat komposer berkenaan kerana saya tahu dia sibuk dengan pelbagai agenda seninya.

"Justeru, apabila syarikat rakaman FMC memberi peluang kepada saya untuk sama-sama memilih komposer untuk lagu baru dalam album ini, saya terus mencadangkan namanya.

"Lagu ciptaan M Nasir itu berjudul Dejavu dan liriknya ditulis Usop Kopratasa. Selain lagu Pujangga Merindu dan Dejavu, satu lagi lagu baru iaitu Mendung ciptaan Yasin (lagu/lirik Yasin)," katanya.

Pada masa sama, Syura juga berharap pihak stesen radio tidak bersikap pilih kasih dalam memainkan lagu berentak etnik tradisional di stesen mereka.

"Sikap pilih kasih segelintir stesen radio untuk memutarkan lagu penyanyi tertentu tidak adil kepada penyanyi lain yang menyanyikan lagu sama.

"Saya juga bukan 'orang baru' dalam irama tradisional ini. Malah, saya tahu lagu mana yang menepati cita rasa pendengar hari ini kerana lagu dendangan saya bukanlah berentak lagu asli lama.

"Contohnya, lagu Dejavu lebih berentak pop kreatif, Pujangga Merindu memuatkan elemen muzik Cina dan Mendung pula dipengaruhi muzik Timur Tengah," katanya.

Dalam pertemuan dengan Syura, baru-baru ini, ibu muda kepada Nurul Dania Irdani, 18 bulan ini tampil ringkas dengan pakaian kasual serta susuk tubuhnya yang berisi selepas melahirkan anak.

Sebelum ini, Syura pernah mengalami keguguran ketika mengandung selepas sebulan diijabkabulkan. Ketika itu, Syura dan suami juga reda, kandungan pertamanya yang berusia tiga bulan itu tidak dapat diselamatkan.

Syura yang bekahwin dengan Fadhly Md Yasin, 27, pada 16 April 2006 berkata, dia sibuk mengusahakan perniagaan Butik & Andaman Syura yang beroperasi di Masai, Johor, sejak Mei lalu.

"Sebenarnya, saya memang minat dalam bidang kecantikan dan sudah lama merancang untuk membuka butik sendiri. Bermula daripada minat dan galakan beberapa rakan baik termasuk jurusolek Saidatulnisa, impian saya untuk membuka butik sendiri akhirnya kesampaian berbekalkan duit simpanan hasil titik peluh dalam bidang nyanyian serta pinjaman dari bank.

"Saya juga pernah mencuba menceburi perniagaan lain tapi akhirnya butik dan perkhidmatan perkahwinan ini yang lebih menjanjikan keuntungan.

"Apapun, saya membuka butik ini untuk jaminan masa depan saya dan keluarga kerana sampai bila saya ingin terus menyanyi kerana bidang seni ini ada pasang surutnya," katanya.



Profil

NAMA SEBENAR: Zuraidah Badron

TARIKH LAHIR: 6 Oktober 1986

ASAL: Johor Bahru

PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia

KERJAYA: Penyanyi dan pengusaha butik

STATUS: Berkahwin

SUAMI: Fadhly Md Yasin, 27, (bertugas sebagai guru)

ANAK: Nurul Dania Irdani, 18 bulan

ALBUM: Aroma (pop), Firus/duet dengan Siti Nordiana, Senandung Melayu (duet dengan Datuk M Daud Kilau),

Aruda (pop), Balaghah (irama malaysia), Syahdah Berdendang ( irama malaysia)

Pujangga Merindu (Radeen Sri/Hairul Anuar Harun), Khazanah Pujangga

PENCAPAIAN: Penyanyi Berpotensi Terbaik sempena Festival Muzik Asia Shanghai (2002), Album Etnik Terbaik - Anugerah Industri Muzik 2007.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: